Kedudukan fiskal terkawal, situasi COVID-19 jadi penentu | DagangNews Skip to main content

Kedudukan fiskal terkawal, situasi COVID-19 jadi penentu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 29 Jan. - Situasi pandemik COVID-19 akan menjadi penentu kepada kedudukan fiskal kerajaan walaupun ketika ini ia masih lagi terkawal. 

 

Malaysia kini sudah memasuki minggu kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir 4 Februari ini kecuali Sarawak. 

 

Tetapi, jika jumlah kes jangkitan masih meningkat, kerajaan mungkin akan meneruskan fasa PKP ini secara rawak meskipun kemungkinan dilonggarkan. 

 

Sekiranya berlarutan, Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) menjangkakan kerajaan mungkin terpaksa menyediakan sokongan fiskal berdasarkan hutang sekali lagi tahun ini. 

 

firdaos rosli
Firdaos Rosli

 

Jelas Pakar Ekonomi Kanan dan Ketua Penyelidik MARC, Firdaos Rosli, ini juga bermakna kerajaan akan menaikkan tahap hutang negara daripada 60% kepada 65%. 

 

"Ini bukanlah bermakna satu perkara yang akan berlanjutan. Kami menjangkakan bahawa kerajaan akan terus menjalankan proses konsolidasi fiskal apabila ekonomi pulih kelak, sepertimana selepas krisis kewangan global pada tahun 2008-2009. 

 

"Sekiranya tanpa pakej rangsangan lain, MARC menjangkakan defisit fiskal akan berada pada sekitar 5.3 hingga 5.8% dan kadar hutang pada 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Selain itu, beliau berkata, inflasi juga dijangkakan naik ke paras positif tahun ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia. 

 

"Sehubungan itu, MARC juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras kini, 1.75% sepanjang tahun. 

 

"Ringgit pula akan terus kukuh berbanding dolar AS daripada tahun lalu," jelas beliau. 

 

Dalam kenyataan semalam, Moody's Investors Service mengesahkan penarafan penerbit jangka panjang mata wang asing dan tempatan serta hutang tidak bercagar senior mata wang tempatan Malaysia pada A3, dengan unjuran yang stabil.

 

Agensi penarafan itu menjelaskan pengesahan penarafan itu disokong oleh jangkaannya bahawa prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia akan terus kukuh dan institusi pembuatan dasar makroekonomi negara akan terus dipercayai dan efektif, sekali gus menyediakan daya tahan profail kredit negara.

 

Moody's menjangkakan defisit fiskal Malaysia berkurangan kepada 5.5% daripada KDNK pada 2021 berbanding 6% yang direkodkan semasa tahun lepas.

 

Mengulas lanjut, Firdaos berkata, tekanan menurun akan kekal sehinggalah jumlah kes COVID-19 dapat dikawal pada tahap selepas PKP 1.0.
 

"Saya berpendapat bahawa situasi fiskal kerajaan adalah terburuk pada suku kedua 2020 dan berakhir untuk tahun 2020 walaupun negara dalam fasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). 

 

"Namun begitu, keyakinan pengguna dan perniagaan masih rendah," jelasnya.

 

Ini mengambil kira indikakor utama berdasarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menunjukkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) pada suku ketiga 2020 masih di bawah tahap optimis 100 mata pada 91.5 (berbanding 90.1 mata pada suku kedua 2020).

 

Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) pula meningkat 25.3 mata pada suku ketiga 2020 kepada 86.3 mata disebabkan oleh kelonggaran kekangan mobiliti setelah tamatnya PKP 1.0. 

 

Hutang isi rumah daripada KDNK pula mencecah 87.5% pada separuh pertama tahun lalu manakala pengangguran pada November ialah 4.7%, kekal tinggi daripada paras sebelum pandemik COVID-19.

 

Mengenai impak kepada keyakinan pelabur, beliau berkata, laporan Moody’s menyebut bahawa penilaian kedudukan kredit Malaysia adalah selari dengan jangkaan mereka mengenai prospek pertumbuhan jangka masa menengah negara kerana dasar makroekonomi semasa pandemik COVID-19.
 

Sebagai negara membangun, pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting kerana ia akan memberi suntikan kepada pelaburan domestik. 

 

"Pada pendapat saya, adalah lebih baik jikalau kita lihat nilai FDI melalui jangka masa sederhana dan panjang. 

 

"Sentimen pelabur bertukar-tukar mengikut masa, jadi kita perlu lihat bagaimana dasar-dasar kerajaan dapat menarik sentimen pelabur secara umumnya dan bukan hanya dilihat dari aspek jangka masa pendek," tambah beliau. 

 

Malah, Firdaos menegaskan, 2020 adalah tahun 'outlier' dari aspek statistik, di mana tahun lepas merupakan tahun pertama dunia dilanda wabak COVID-19. 

 

Moody’s Investors Service kekalkan taraf kredit negara pada A3 dengan kedudukan prospek stabil, berbeza dengan penarafan Fitch Ratings untuk turunkan kedudukan kredit Malaysia ke BBB+ baru-baru ini. 

 

"Bagaimanapun, sentimen pelabur di dalam pasaran bon negara terus meningkat, tetapi ini diimbangi dengan pelaburan asing di dalam pasaran ekuiti yang jatuh. 

 

"Pada masa ini, pelabur berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana proses pemulihan ekonomi di peringkat domestik dan dunia masih lagi kurang jelas," jelasnya.

 

razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

 

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keputusan Moody's mengekalkan rating A3 akan memberi impak positif kepada sentimen dan keyakinan pelabur. 

 

Malah, ia merupakan satu pengiktirafan ke atas usaha kerajaan selama ini dalam memulihkan ekonomi melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lepas hingga kini.

 

"Kedudukan fiskal kerajaan kini masih dalam kedudukan kukuh iaitu hutang kerajaan persekutuan masih lagi di bawah 70% daripada KDNK.

 

"Ini menunjukkan masih lagi ada ruang untuk kerajaan menambah hutang baharu dalam memastikan peruntukan di bawah Belanjawan 2021 dapat disalurkan dan pakej rangsangan ekonomi dapat dilaksanakan," katanya. 

 

Ditanya mengenai sejauh mana unjuran kerajaan boleh dicapai, Razman berkata, ia bergantung kepada kejayaan kerajaan melandaikan keluk jangkitan COVID-19 secepat mungkin supaya semua sektor ekonomi dapat dibuka seperti biasa. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dalam kenyataan semalam menyifatkan pengesahan penarafan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran stabil merupakan bukti disiplin fiskal kerajaan yang teguh. 

 

Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan sasaran defisit daripada 6% daripada KDNK pada 2020 kepada 5.4% daripada KDNK 2021 dan seterusnya kepada purata 4.5% dalam jangka sederhana. - DagangNews.com