Cuti hujung minggu Johor ditukar kembali kepada Sabtu dan Ahad berkuatkuasa 1 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Cuti hujung minggu Johor ditukar kembali kepada Sabtu dan Ahad berkuatkuasa 1 Januari 2025

Tunku Mahkota Tunku Ismail mengumumkan perubahan cuti hujung minggu negeri Johor kepada hari Sabtu dan Ahad menerusi satu hantaran di Facebook.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Okt - Cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

 

Perkara itu diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Tunku Ismail Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook hari ini selepas mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

 

Tunku Ismail mengumumkan perubahan itu selepas mendapat pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan pihak berkepentingan lain.

 

"Saya telah menitahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad untuk berbincang dan mengkaji setiap sudut dan aspek berkaitan perkara ini.

 

"Saya berharap, sektor swasta, kerajaan dan pihak berkaitan memberikan masa dan ruang yang mencukupi bagi pekerja Muslim untuk menunaikan solat Jumaat dengan baik,” titah baginda.

 

Perubahan itu akan menggantikan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2014.

 

Penyesuaian tersebut dibuat berikutan maklum balas yang semakin meningkat daripada pelbagai sektor termasuk pendidikan, industri dan perbankan, serta bertujuan untuk menyelaraskan dengan jadual hujung minggu Kerajaan Persekutuan iaitu Sabtu dan Ahad.

 

Cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu pada tahun 2014 dibuat bersempena titah Sultan Ibrahim semasa hari keputeraan baginda yang ke-55.

 

Pada 14 Jun 2022, kerajaan Johor dilapor mengkaji semula cuti hujung minggu tersebut ekoran aduan daripada orang ramai.

 

Negeri lain yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Terengganu, Kelantan dan Kedah. - DagangNews.com