Kedudukan IIP Malaysia catat aset bersih lebih tinggi sebanyak RM76.3 bilion pada suku ketiga - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kedudukan IIP Malaysia catat aset bersih lebih tinggi sebanyak RM76.3 bilion pada suku ketiga - DOSM

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia (IIP) mencatat kedudukan aset bersih yang lebih tinggi sebanyak RM76.3 bilion pada suku ketiga 2022 daripada RM62.0 bilion pada suku kedua, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Jumlah aset dan liabiliti kewangan masing-masing meningkat kepada RM2.25 trilion (suku kedua 2022: RM2.16 trilion) dan RM2.18 trilion (suku kedua 2022: RM2.10 trilion).

 

Sementara itu, ia berkata kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia meningkat RM24.6 bilion, merekodkan RM860.8 bilion pada akhir suku ketiga 2022 (suku kedua 2022: RM836.2 bilion).

 

“Sektor pembuatan kekal sebagai penerima terbesar dengan nilai RM374.3 bilion atau 43.5%, diikuti aktiviti kewangan (RM198.6 bilion) dan perdagangan borong dan runcit (RM53.7 bilion),” kata DOSM, lapor Bernama hari ini.

 

Sumber utama kedudukan FDI sebahagian besarnya adalah dari Singapura (20.6%), Amerika Syarikat (11.5%) dan Hong Kong (10.7%).

 

dosm

 

Kedudukan pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) meningkat kepada RM601.9 bilion berbanding RM577.4 bilion pada akhir suku tahun sebelumnya.

 

Pelaburan ini kebanyakannya dalam aktiviti kewangan yang menyumbang 42.7% (RM256.9 bilion), diikuti oleh sektor perlombongan dan kuari (RM78.2 bilion) dan pembuatan (RM58.0 bilion).

 

“Tiga destinasi utama  adalah  Singapura dengan nilai sebanyak RM122.5 bilion atau 20.3 peratus, diikuti Indonesia (RM63.5 bilion, 10.6%) dan Kepulauan Caymen (RM35.8 bilion, 5.9%),” katanya. - DagangNews.com