Kedudukan kewangan Deleum diunjur stabil dipacu segmen kuasa dan jentera, perkhidmatan bersepadu medan minyak | DagangNews Skip to main content

Kedudukan kewangan Deleum diunjur stabil dipacu segmen kuasa dan jentera, perkhidmatan bersepadu medan minyak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kedudukan kewangan Deleum Bhd diunjur kekal stabil dipacu prestasi cemerlang segmen kuasa dan jentera (P&M) selain pemulihan ketara dalam segmen perkhidmatan bersepadu medan minyak (OIS). 

 

MIDF Research optimis terhadap industri huluan sektor minyak dan gas (O&G) selepas harga minyak berada dalam julat antara AS$78 hingga AS$86 pada separuh pertama 2024 dan purata minyak mentah Brent sebanyak AS$83 setong menjelang akhir tahun.

 

"Dalam persekitaran yang menggalakkan ini, kami berpendapat bahawa Deleum akan terus mengekalkan operasinya sambil meneroka pasaran baharu untuk menambah lebih nilai kepada portfolio perkhidmatan dan produknya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu untung bersih 2QFY24 kumpulan itu meningkat kepada RM22.4 juta berbanding RM9.73 juta pada tahun sebelumnya dipacu hasil lebih tinggi dalam segmen P&M serta OIS dan ia merupakan hasil tertinggi diraih mereka sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2007.

 

Segmen OIS mencatatkanpeningkatan hasil sebanyak 50.7% kepada RM49.1 juta daripada RM32.6 juta, disebabkan oleh aktiviti perniagaan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan slickline di Malaysia Timur, perkhidmatan penyelesaian bersepadu aset dan perkhidmatan kawalan pepejal.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY2024), keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 67.7% kepada RM31.6 juta daripada RM18.9 juta bagi tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat 24.3% kepada RM387.3 juta daripada RM311.5 juta .

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga 2QFY24, Deleum menggabungkan rumusan kakisan bersepadu (ICS) dengan perkhidmatan medan minyak yang kemudian dianamakan sebagai OIS.

 

Katanya, pengagregatan itu sejajar dengan matlamat dan objektif strategik keseluruhan kumpulan untuk pengembangan pasaran, serta mencerminkan pengasingan yang lebih jelas bagi perniagaan tertumpu perkhidmatan dan perniagaan berasaskan produk dan perkhidmatan khusus.

 

"Memandangkan keputusan 1HFY24 Deleum melebihi jangkaan, kami menyemak naik unjuran pendapatan FY24-25 masing-masing sebanyak 13% dan 3%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.64 sesaham berdasarkan tinjauan positif dalam segmen O&G huluan pada separuh kedua 2024, sejajar dengan ramalan harga minyak mentah Brent yang stabil dan capex huluan yang lebih tinggi dalam CY24," katanya.- DagangNews.com