Kehadiran pekerja asing pacu semula produktiviti SLP Resources pada 2HFY22 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Kehadiran pekerja asing pacu semula produktiviti SLP Resources pada 2HFY22 - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kehadiran semula pekerja asing akan memacu kembali produktiviti SLP Resources Berhad pada 2HFY22.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, jumlah pekerja asing menurun daripada 407 kepada 207 orang semasa pra pandemik dan kini sejumlah 14 pekerja baharu berjaya diambil (permohonan: 105, kadar penerimaan: 13%).

 

"Pengambilan pusingan kedua menyaksikan kumpulan itu membuat permohonan untuk 120 pekerja dan percaya akan mendapat kadar penerimaan yang lebih tinggi antara 50-55%.

 

"Kesemua pekerja asing itu dijangka tiba pada hujung Oktober 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga akan memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta  untuk mengautomasikan lima talian penukaran unit bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

Secara umumnya, lima talian penukar yang dikendalikan secara manual memerlukan tujuh pekerja untuk beroperasi iaitu lima operator dan dua pembungkus.

 

"Dengan bantuan automasi, maksimum tiga pekerja diperlukan untuk mengoperasikan lima talian penukaran automatik dan ia dijangka meningkatkan kecekapan dan hasil keluaran kumpulan, memandangkan masa henti operasi yang lebih rendah," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga yakin harga polimer akan terus berdepan tekanan pada 2HFY22 kesan daripada permintaan yang lemah daripada China, perang dagangan antara China-Amerka Syarikat (AS) dan permulaan kapasiti petrokimia baharu bermula termasuk Kompleks Bersepadu Petronas Pengerang.

 

Bagaimanapun, harga purata jualan (ASP) produk plastik kumpulan diselaraskan setiap suku tahun atau berdasarkan kontrak penanda aras polimer dan firma itu mendapati bahawa ASP plastik bagi 3QFY22 masih dalam trajektori menaik namun beransur-ansur berkurangan pada 4QFY22.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham - DagangNews.com