HYBE mendedahkan bahawa hampir 88% daripada hasilnya pada separuh pertama 2020 disumbangkan oleh BTS
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Julai - Nilai kekayaan jutawan dan pengasas kumpulan K-pop terkemuka, BTS iaitu Bang Si-hyuk melonjak dua kali ganda dalam sekelip mata, seiring prestasi harga saham syarikatnya, Hybe Co. yang mencanak naik.
Selain didorong oleh sensasi dan kepopularan BTS, kekayaannya juga mungkin dipacu oleh keyakinan pelabur terhadap langkah Hybe yang sebelum ini dikenali sebagai Big Hit Entertainment, mengambil alih syarikat penaung Justin Bieber dan Ariana Grande iaitu Ithaca Holdings.
Menurut Indeks Jutawan Bloomberg, kekayaan Si-hyuk bernilai AS$3.2 bilion atau sekitar RM13.41 bilion, melonjak 130% sejak Hybe disenaraikan di bursa Korea Selatan daripada AS$1.5 bilion atau kira-kira RM6.28 bilion.
“Hybe berjaya membawa satu lagi pemain industri hiburan bersama-samanya. Ini telah membantu syarikat untuk meraih kepercayaan pelabur bahawa perniagaannya berjalan lancar,” jelas penganalisis di firma penyelidikan Yuanta Securities Co., Sungho Park, seperti dilaporkan Bloomberg.
Sekitar 2 April lalu, Hybe membayar AS$1.05 bilion atau sekitar RM4.4 bilion untuk membeli 100% kepentingan dalam Ithaca menerusi anak syarikatnya, Hybe America.
Susulan itu, pemilik Ithaca, Scooter Braun memegang 1% kepentingan dalam Hybe yang bernilai AS$123.7 juta atau sekitar RM518.24 juta.
Si-hyuk yang turut dikenali sebagai ‘Hitman’ di Korea Selatan memiliki 34% kepentingan dalam Hybe dan ketika ini memegang jawatan sebagai Pengerusi syarikat.
Beliau menubuhkan syarikat berkenaan pada tahun 2005 dan berkerjaya sebagai penerbit muzik ketika itu.
Pada awal tahun penubuhannya, Hybe hampir bankrap sebelum BTS pertama kali menerbitkan sebuah album pada tahun 2013, sekali gus menjadi titik permulaan kepada kejayaan Si-hyuk dan syarikatnya.
Hybe menerusi prospektus IPO syarikat pada tahun lalu mendedahkan bahawa hampir 88% daripada hasilnya pada separuh pertama 2020 disumbangkan oleh BTS. - DagangNews.com