Kelington diunjur raih lebih banyak projek dalam segmen UHP didorong kitaran menaik sektor semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Kelington diunjur raih lebih banyak projek dalam segmen UHP didorong kitaran menaik sektor semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - RHB Investment mengunjurkan kitaran menaik dalam sektor semikonduktor meletakkan Kelington Group Bhd di kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak projek ketulenan ultra tinggi (UHP).

 

Katanya, kitaran menurun selama dua tahun dalam sektor semikonduktor semakin berada di penghujung yang memberi prospek yang positif kepada kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga memiliki buku pesanan tertunggak ebanyak RM1.3 bilion.

 

"Kami menjangkakan momentum pertumbuhan dua digit bagi pendapatan teras kumpulan, disokong oleh kemajuan segmen UHP dengan beberapa kesan bermusim dengan asas yang lebih tinggi pada suku keempat FY23.

 

"Kami menjangkakan margin keuntungan kasar kekal pada dua digit pertengahan kerana segmen UHP terus membentuk bahagian terbesar atau hampir tiga perempat daripada hasil kumpulan.

 

"Ini adalah tambahan kepada perniagaan gas industri yang menghasilkan hasil lebih tinggi yang berkembang pesat dengan tapak loji karbon dioksida cecair kedua dengan kapasiti kira-kira 70,000 tan metrik akan mula beroperasi," katanya.

 

RHB Investment berkata, sentimen terhadap sektor sektor semikonduktor akan terus disokong dengan faedah kepada syarikat yang beroperasi di bahagian hadapan rantaian bekalan seperti fabrikasi wafer.

 

Sementara itu, katanya, peningkatan tarif baru-baru ini ke atas import semikonduktor China dari 2025 boleh mengukuhkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di bawah strategi China Plus One. Ia seharusna menjadi petanda baik untuk kumpulan itu.

 

"Perkembangan Kelington ke Jerman adalah tepat pada masanya kesan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-China," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.35 sesaham," katanya. - DagangNews.com