Kelington raih kontrak baharu bernilai RM262 juta di Pelabuhan Klang dan Beijing | DagangNews Skip to main content

Kelington raih kontrak baharu bernilai RM262 juta di Pelabuhan Klang dan Beijing

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Kelington Group Berhad mengumumkan dua anak syarikatnya, Kelington Technologies Sdn. Bhd. dan Kelington Engineering (Shanghai) Co., Ltd. berjaya meraih kontrak baharu bernilai RM262 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan, anak syarikatnya Kelington Technologies meraih kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan tangki simpanan produk minyak untuk projek pembesaran lubang tangki di Pelabuhan Klang.

 

Katanya, projek itu diraih daripada pembekal terkemuka perkhidmatan penyimpanan untuk cecair dan gas pukal.

 

"Projek berkenaan bernilai kira-kira RM170 juta dan akan bermula pada November 2022 sehingga Oktober 2024.

 

"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 31 Disember 2024," katanya.

 

Pada masa sama, Kelinton Engineering berjaya meraih kontrak pembekalan bahan dan pemasangan sistem penghantaran gas pukal di Beijing, China melibatkan nilai hampir RM92 juta selepas cukai.

 

"Kontrak yang bermula November 2022 hingga September 2023 diraih daripada sebuah syarikat reka bentuk dan pembuatan bersepadu yang mengkhusus dalam memori akses rawak dinamik di China," katanya.

 

Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com