KUALA LUMPUR 20 Feb - Kementerian Kewangan menegaskan bahawa mereka tidak menyembunyikan sebarang perkara sebaliknya memberi fokus kepada pemulihan negara selepas terkesan akibat COVID-19.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian itu berusaha melaksanakan pelbagai strategi bagi memacu pemulihan negara melalui dua tonggak utama iaitu JaminKerja dan SemarakNiaga seperti dibentangkan dalam Bajet 2022.
"Umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh COVID-19, namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.
"Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang kita rancang untuk memacu pemulihan ini," menerusi laman Facebook, hari ini.
Tengku Zafrul mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang tidak menolak kemungkinan untuk mendedahkan kedudukan kewangan negara didakwa tidak seperti seperti digambarkan.
Beliau berkata, Ia adalah sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat MPN, seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan tanpa mengira sebarang parti.
Katanya, sebagai Pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.
"Fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.
"Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.
"Sebab itu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi," katanya. - DagangNews.com