Kementerian Kewangan fokus pembaharuan struktur, bina daya tahan ekonomi negara - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan fokus pembaharuan struktur, bina daya tahan ekonomi negara - Tengku Zafrul

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Kementeria Kewangan akan terus memberi fokus kepada pembaharuan struktur bagi membina daya tahan negara pada masa hadapan selain membendung inflasi sertai mengatasi ketidaktentuan persekitaran global semasa.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejajar kedudukan Malaysia sebagai ekonomi terbuka dengan jumlah perdagangan lebih 120% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan akan terus mempersiapkan negara menghadapi cabaran-cabaran berkenaan.

 

“Sejak pandemik bermula, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan sedar pentingnya pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan lestari dan kami telah memulakan inisiatif seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial, menangani isu pengangguran dalam kalangan belia dan pelaksanaan upah minimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, isu struktur itu bagaimanapun ini memerlukan masa untuk ditangani dan bukannya boleh diselesaikan dalam masa singkat.

 

Katanya, kadar perbelanjaan tinggi bagi melindungi nyawa dan kesihatan awam serta sokongan perniagaan ketika pandemik, memerlukan kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal bagi mengatasi isu-isu struktur berkenaan.

 

Beliau berkata, ekonomi negara pada suku keempat 2022 dan 2023 dijangka lebih mencabar akibat prospek ekonomi global yang lembap berikutan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-China dan peperangan di Ukraine yang berterusan serta dasar sifar COVID-19 di China.

 

Akibat dasar konservatif tersebut, Bank Pembangunan Asia (ADB) telah bertindak menurunkan unjuran KDNK China kepada 3.3% bagi 2022 iaitu kadar terendah berbanding negara membangun Asia lain yang juga kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz 

 

Faktor perubahan iklim juga dijangka mengganggu produktiviti pengeluar makanan utama seperti India yang turut meyumbang kepada peningkatan harga komoditi dan makanan. 

 

“Ini akan terus memberi tekanan ke atas kadar inflasi dan sekuriti makanan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sehubungan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2023 daripada 3.8% pada Januari 2022 kepada 2.9%.

 

“IMF turut meningkatkan kadar unjuran inflasi sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 9.5% bagi negara membangun dan 0.9 mata peratusan kepada 6.6% bagi negara maju,” katanya.

 

Tengku Zafrul berkata, semua faktor tersebut akan memberi impak terhadap unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 yang dijangka lebih rendah berbanding 2022.

 

Beliau juga optimis  walaupun pelbagai aspek luaran amat mencabar sejak awal tahun 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan  berjaya membantu pemulihan ekonomi Malaysia, terutama bagi sektor seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan yang terjejas teruk ketika pandemik.

 

“Kesemua kejayaan ini turut disumbangkan oleh dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022 dan dasar monetari yang kekal akomodatif.

 

“Sehubungan itu, bagi 2022, KDNK Malaysia dijangka berkembang lebih baik iaitu antara 5.3-6.3%,” katanya. - DagangNews.com