BUKIT MERTAJAM 30 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penekanan kepada penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.
Beliau berkata, penguasaan ketiga-tiga mata pelajaran itu amat mendesak berikutan perubahan dalam kurikulum dengan wujudnya cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penguasaan mata pelajaran dalam kalangan pelajar perlu seiring dengan penggunaan bahasa Melayu selain menekankan isu moral yang merangkumi nilai murni seperti hormat-menghormati.
“Menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik adalah mengikut peredaran zaman dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik terutama dengan perkembangan teknologi, dan ilmu baharu (juga) penting.
"Kamu (pelajar) juga mesti memastikan penguasaan bahasa Inggeris yang kuat. Bahasa Melayu perlu diperkasakan manakala bahasa Inggeris perlu dikembangkan," katanya ketika berucap pada lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai Sekolah Menengah Bukit Mertajam (HSBM) di sini pada Jumaat.
Perdana menteri berkata sekiranya negara gagal menguasai bidang tersebut, maka Malaysia akan kalah dalam persaingan dunia yang semakin mencabar khususnya dalam teknologi baharu.
Beliau berkata, asimilasi ilmu iaitu menimba kemahiran serta menerapkan nilai-nilai murni serta kebenaran adalah dua aspek penting yang harus diterapkan dalam pendidikan masa kini.
"Mengapa kedua-dua aspek ini tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan negara tercemar dengan pengawasan kuasa rasuah. Ia disebabkan menimba ilmu tanpa menerapkan nilai moral dan prinsip kebenaran.
"Jadi kena ingat, terokalah ilmu baru tanpa meninggalkan tradisi, budaya, akhlak dan agama,” katanya.
Beliau berkata pendidikan adalah bidang penting bagi negara, justeru peruntukan besar diberikan dalam Bajet Madani selain bidang perubatan.
Sementara itu, Anwar yang juga bekas pelajar sekolah HSBM mengumumkan peruntukan RM225,000 untuk pembinaan surau dan RM275,000 untuk penyelenggaraan lain di sekolah itu. - DagangNews.com