Kementerian Pendidikan terima peruntukan tertinggi RM55.2 bilion menerusi Belanjawan 2023 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pendidikan terima peruntukan tertinggi RM55.2 bilion menerusi Belanjawan 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat anak-anak.

 

Jelas beliau, ia meliputi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

 

“Peruntukan turut melibatkan kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur.

 

“Selain itu, sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra OKU. 

 

“Kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun,” katanya.

 

bajet

 

Beliau berkata, sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun, Terenggan; SMK Denai  Alam, Selangor; SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak.

 

Perdana Menteri berkata, bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini yang memanfaatkan 700,000 murid.

 

Beliau berkata, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan ditingkatkan daripada RM89 juta kepada RM108 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 240,000 murid prasekolah dibawah kementerian itu. 

 

"Pemantauan akan dibuat kepada penyedia makanan untuk pastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat," katanya. - DagangNews.com