Kempen 'Kids Fly+Stay Free' MAB tawar diskaun hingga 60% | DagangNews Skip to main content

Kempen 'Kids Fly+Stay Free' MAB tawar diskaun hingga 60%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Malaysia Airlines Berhad (MAB) melalui cabang operasi pelancongannya, MHholidays, melancarkan kempen percutian terbaharu, 'Kids Fly+Stay Free' dengan diskaun sehingga 60% sehingga 2 September depan. 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Perkhidmatan Pelanggan MAB, Lau Yin May berkata, kempen itu merangkumi tiket penerbangan dua hala, bagasi, makanan dan penginapan hotel.

"Kempen ini bukan hanya diberi kepada pelancong perseorangan, malah kepada keluarga yang ingin menikmati percutian yang luar biasa.

 

Yin May
Lau Yin May

 

"Kami juga gembira mempunyai rakan perniagaan hotel empat hingga lima bintang di seluruh Malaysia yang sedia bekerjasama dengan MHholidays untuk memberikan tawaran hebat hingga tahun hadapan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiap tempahan yang dibuat melalui MHholiday layak mendapat pakej penerbangan dan penginapan percuma untuk seorang kanak-kanak berusia antara tiga hingga 11 tahun atau bayi yang berusia dua tahun ke bawah.

Harga pekej penerbangan dan penginapan hotel untuk tiga hari dua malam termasuk RM389 ke Kota Kinabalu, RM189 ke Johor Bahru dan RM249 ke Kuantan.

Selain destinasi tersebut, pakej turut termasuk bagi penerbangan ke Langkawi dengan harga RM249 dan RM189 ke Kuala Lumpur dari destinasi lain di Malaysia.

Pembelian pakej sah untuk perjalanan segera hingga 31 Januari 2021.

MAB turut menawarkan ‘MHholidays & Suria Sabah Shopping Mall Privilege Booklet’ yang menyaksikan diskaun tambahan 20% di Big Apple Donuts & Coffee, Birkenstock, Purest Borneo dan Under Armour selain tawaran-tawaran sedia ada.

Promosi itu terhad bagi mereka yang terawal dan boleh ditebus 10 hari selepas tiba di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, MAB turut bekerjasama dengan Sabah Tourism dengan menawarkan promosi hebat untuk menyokong kempen #BahMarilah bagi menggalakkan pelancongan ke negeri itu dengan promosi 50% pakej percutian bermula 24 Ogos depan. - DagangNews.com