Kempen 'Shop Sama Kamek' sokong peniaga Sabah, Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kempen 'Shop Sama Kamek' sokong peniaga Sabah, Sarawak

Kempen 'Shop Sama Kamek'

 

MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Cabang logistik AirAsia, Teleport melancarkan kempen e-dagang terbaharu yang dikenali sebagai 'Shop Sama Kamek' untuk menyokong lebih banyak peniaga di Sabah dan Sarawak bagi memasarkan produk makanan di platform e-dagang OURSHOP pada September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pete Chareonwongsak berkata, kempen tersebut adalah susulan kejayaan kempen Save Our Shops (S.O.S) pada Aril lalu.

"Kempen ini bertujuan untuk menghidupkan kembali ekonomi tempatan. Pihak kerajaan telah meluluskan geran kepada kami bagi penghantaran merentas sempadan, pemasaran dan latihan kepada para peniaga.

"Usaha ini juga membolehkan kami menyediakan sumber dan keperluan untuk menyokong pedagang di Sabah dan Sarawak untuk sedia beralih ke platform e-dagang," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen 'Shop Sama Kamek' dianjurkan selari dengan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) oleh kerajaan dan Kempen E-dagang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang dilancarkan pada Jun oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pete Chareonwongsak
                                                        Pete Chareonwongsak 

 

Melalui kempen tersebut, peniaga terpilih yang mendaftar dengan Teleport akan disokong dengan kemahiran yang diperlukan bagi memasarkan produk secara dalam talian. 

Mereka akan didaftarkan secara automatik ke dalam program pengembangan khusus oleh RedBeat Academy iaitu 'BINA Digital' yang akan membantu meningkatkan kemahiran dan memperakui peniaga untuk menjual produk.

Peniaga baharu yang menyertai platform ini juga tidak perlu membuat sebarang bayaran komisen atau 0%, sebaliknya hanya dikenakan yuran bayaran sebanyak 2%.

Mereka juga tidak akan dikenakan bayaran untuk menyediakan perniagaan dan akan disokong dengan penyelesaian pasaran, penghantaran dan pembayaran termasuk pendedahan kepada pelanggan di Lembah Klang.

Teleport juga akan membantu dalam aspek promosi, pemasaran dan penjenamaan peniaga baharu sebelum dipasarkan kepada pelanggan di Lembah Klang.

Tambah beliau, inisiatif tersebut juga akan mengfokuskan kepada kemudahan dan kemampuan untuk memesan makanan segar, sejuk beku atau siap dibungkus dari Sabah dan Sarawak ke Lembah Klang.

"Kami berharap dapat membuka peluang pekerjaan bagi sesiapa sahaja sebagai rakan penghantaran Teleport untuk memenuhi permintaan dan penghantaran pada hari berikutnya," jelasnya lagi. - DagangNews.com