Kemudahan FLNG baharu Genting diunjur lonjak untung bersih tahunan sebanyak RM613 juta bermula FY27 | DagangNews Skip to main content

Kemudahan FLNG baharu Genting diunjur lonjak untung bersih tahunan sebanyak RM613 juta bermula FY27

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) baharu Genting Bhd berpotensi meningkatkan untung bersihnya sebanyak RM613 juta setahun bermula FY27 dan seterusnya.

 

CIMB Securities menjangkakan, kemudahan itu boleh menyumbang pendapatan AS$704 juta (RM3.1 bilion) setahun berdasarkan pengeluaran tahunan sebanyak 65.2 MMBtu dan harga LNG AS$10.80/ MMBtu.

 

"Keuntungan bersih RM613 juta setahun itu adalah berdasarkan kepada ramalan margin bersih 20% kumpulan itu pada FY27 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pembiayaan untuk kemudahan FLNG tidak sepatutnya menjadi isu, kerana Genting mempunyai wang tunai RM7.2 bilion pada akhir suku kedua 2024.

 

Katanya, kumpulan itu berada dalam peringkat seterusnya untuk mendapatkan pembiayaan projek daripada sekumpulan pemberi pinjaman China dan antarabangsa.

 

FLNG akan dipasang di Papua Barat (Indonesia), manakala gas suapan untuk kemudahan itu akan dibekalkan daripada konsesi Blok Kasuri Genting, dengan penurunan pertama LNG dijadualkan pada suku ketiga 2026.

 

Terdahulu, Genting menganugerahkan kontrak AS$1 bilion (RM4.3 bilion) kepada Wison New Energies Co Ltd untuk pembinaan kemudahan FLNG yang akan digunakan di Teluk Bintuni, Papua Barat pada Jun 2024.

 

Kemudahan LNG itu dijangka mempunyai kapasiti tahunan sehingga 1.2 juta tan.

 

Sementara itu, CIMB Securities memetik Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Genting, Datuk Sri Tan Kong Han pada mesyuarat pemegang saham kumpulan baru-baru ini menyatakan kumpulan itu masih berminat untuk menyenaraikan perniagaan resort/kasino Amerika Syarikat (AS).

 

"Kami menganggarkan Genting AS, dengan lima resort/kasino, akan mempunyai pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) FY27 kira-kira AS$500 juta (RM2.2 bilion) berdasarkan status-quo.

 

"Ini mungkin membantu menyerlahkan nilai aset Genting AS dan menilai semula harga sahamnya terhadap harga sasaran (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOP) kami, yang sudah menilai mereka pada EV (nilai perusahaan) RM16.7 bilion," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) RM6.65 sesaham. - DagangNews.com