Kenaikan ASP tidak cukup tampung peningkatan kos operasi Top Glove, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Kenaikan ASP tidak cukup tampung peningkatan kos operasi Top Glove, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Top Glove Corporation Berhad mengharapkan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi pada 3QFY23 selaras dengan usaha industri bagi menangani kenaikan kos input yang tinggi.

 

CGS-CIMB Research bagaimanapun percaya kenaikan ASP ketika ini sehingga akhir 3QFY23 tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos yang lebih tinggi. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu kekal optimis bahawa ASP boleh mencapai ke tahap pra pandemik namun kami menganggarkan ia hanya akan berlaku menjelang 1HFY24 (menyasarkan kenaikan sebanyak 5% setiap bulan bermula 23 Mac).

 

"Kami juga kekal berhati-hati kerana permintaan global semasa untuk sarung tangan masih berada di bawa paras dan menganggarkan kadar penggunaan kumpulan itu berada dalam lingkungan 35% hingga 40% pada 2HFY23 dengan hanya sedikit peningkatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, rugi bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM164.67 juta pada 2QFY23 berbanding untung bersih RM87.55 juta pada tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut lebih separuh kepada RM618 juta berbanding RM1.48 bilion sebelum ini.

 

Keputusan itu menyaksikan kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih untuk enam bulan pertama FY23 sebanyak RM332.9 juta berbanding untung bersih RM273.27 juta pada tahun lalu dan hasil juga merosot 58.2% kepada RM1.25 bilion berbanding RM3.09 bilion.

 

BACA JUGA: Top Glove catat kerugian bagi suku tahun ketiga akibat lebihan stok, peningkatan kos pengeluaran

 

Firma itu menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23-25 selepas mengambil kira jumlah jualan yang lemah selain kos operasi yang tinggi serta ASP yang rendah.

 

"Kami juga menjangkakan kumpulan itu akan terus mencatatkan kerugian sehingga 2QFY24 kesan persekitara operasi yang lemah di dalam sektor sarung tangan global," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 82 sen sesaham. - DagangNews.com