Kenaikan harga bahan binaan akan jejas keuntungan Matrix Concepts, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga bahan binaan akan jejas keuntungan Matrix Concepts, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Public Investment Bank (PublicInvestment) menjangkakan keuntungan Matrix Concepts Holdings Berhad terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan di luar jangkaan. 

 

Firma itu berkata, harga jualan hartanah akan kekal sebagaik sahaja perjanjian jual beli dimeterai dan sebarang kenaikan harga bahan binaan yang tidak dijangka akan memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

Katanya, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) beberapa kali tahun lepas untuk mengekang kenaikan inflasi yang melonjak membuatkan momentum pembelian hartanah terjejas.

 

Firma itu juga percaya bahawa kadar OPR akan kembali normal pada separuh kedua 2023.

 

"Pemintaan terhadap hartanah dilemahkan oleh pasaran yang tidak menentu disebabkan isu politik dan konflik berterusan Rusia-Ukraine," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan pemaju hartanah yang berpangkalan di Negeri Sembilan yang memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik dengan harga antara RM400,000 hingga RM600,000 sehingga RM1 juta.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai projek di Lembah Klang dan negara lain seperti Australia dan Indonesia.

 

Pada masa ini, mereka memiliki baki jumlah simpanan tanah sebanyak 559 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM15 bilion.

 

"Jualan belum dibil pada 3QFY23 berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM662 juta pra-jualan dijamin (atau 55.2% daripada sasaran jualan FY23 sebanyak RM1.12 bilion).

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana prestasinya yang konsisten dalam memberikan margin keuntungan yang baik," katanya.

 

Firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham. - DagangNews.com