Kenaikan harga gas asli pada 2024, Maybank IB jangka Hartalega kembali berdepan tekanan margin keuntungan | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga gas asli pada 2024, Maybank IB jangka Hartalega kembali berdepan tekanan margin keuntungan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan margin keuntungan Hartalega Holdings Berhad kembali berdepan tekanan sekiranya berlaku kos tambahan terutama kenaikan harga gas asli menjelang 2024.

 

Katanya, gas asli merupakan sumber tenaga utama bagi pembuat sarung tangan Malaysia (19% daripada kos pengeluaran), manakala pembuat sarung tangan China dan Thailand menggunakan arang batu atau biojisim.

 

"Bagi mencapai margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) atau sekurang-kurangnya pulang modal, pengurusan perlu menambah baik kecekapan pengeluaran dan daya saing terutama dengan penutupan kilang di Bestari Jaya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, penutupan kilang di Bestari Jaya dijadualkan pada Disember 2023 atau Januari 2024.

 

Katanya, pihak pengurusan sedang memindahkan tenaga kerja serta pengeluarannya dari Bestari Jaya ke Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu (NGC) di Sepang.

 

"Pengurusan juga berhasrat mengembangkan produk jenama sendiri dan perniagaan pengedaran di Australia," katanya.

 

Maybank IB berkata, sehingga kini tiada sebarang peningkatan ketara dalam jualan, dan jumlah jualan kekal tidak menentu, dengan masa utama pesanan yang lebih singkat kerana pembeli tidak terdesak bagi mendapatkan stok kerana terdapat lebihan bekalan dalam pasaran sarung tangan.

 

Kata, purata harga jualan (ASP) pembuat sarung tangan Malaysia adalah sekitar AS$17-18 bagi sertiap 1,000 keping (China AS$14-15/ bagi setiap 1,000 keping, tidak termasuk tarif).

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) MYR 2.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com