KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kenaikan kos tenaga pekerja dan bahan mentah akan terus mempengaruhi prospek Econpile Holdings Berhad.
Malacca Securities berkata, industri pembinaan secara keseluruhannya turut terkesan dengan kenaikan harga itu.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan, harga indeks untuk besi dan keluli juga mencatatkan peningkatan 15.8% dari tahun ke tahun pada Julai 2022.
"Dari sudut positif, operasi di Kemboja mencatatkan perkembangan positif selain 250 pekerja asing sudah menerima kelulusan dan menunggu masa untuk datang ke negara ini.
"Keadaan itu akan memberikan kelegaan kepada kumpulan itu dalam menangani kekurangan tenaga pekerja yang serius," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian sebanyak RM13.3 juta pada 4QFY22 berbanding kerugian RM1 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu kesan daripada harga bahan mentah yang tinggi.
Hasil bagi suku itu bagaimanapun meningkat sebanyak 5.1% dari tahun ke tahun kepada RM98.5 juta.
Bagi FY22, kerugian kumulatif kumpulan berada pada paras RM40.7 juta, di bawah unjuran kerugian bersih firma itu pada RM29.2 juta dan kerugian bersih konsensus RM12 juta.
Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya mendapatkan subkontrak bagi kerja-kerja berkaitan Rapid Transit System Link (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura bernilai RM40 juta.
Katanya, anak syarikat Econpile iaitu Econpile (M) Sdn. Bhd. dianugerahkan kerja-kerja pemasangan cerucuk di kompleks imigresen, kastam dan kuarantin untuk RTS Link.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 15 sen," katanya. - DagangNews.com