Kenanga IB, AntChain Tech meterai perjanjian penggunaan mPaaS bagi aplikasi pengurusan kekayaan | DagangNews Skip to main content

Kenanga IB, AntChain Tech meterai perjanjian penggunaan mPaaS bagi aplikasi pengurusan kekayaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga IB) memeterai perjanjian dengan AntChain Technology Pte Ltd, sebahagian daripada Kumpulan Ant, untuk membina aplikasi pengurusan kekayaan pertama Malaysia menggunakan penyelesaian platform mudah alih AntChain.

 

Perjanjian ini susulan daripada memorandum persefahaman antara kedua-dua syarikat.

 

Aplikasi Kenanga itu bertujuan membantu rakyat Malaysia menyimpan dan mengembangkan kekayaan mereka melalui platform interaktifnya yang menyampaikan produk kewangan yang kompetitif secara telus, didayakan oleh pengalamannya dalam penciptaan kekayaan dan dalam teknologi hari ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, aplikasi itu akan menyepadukan spektrum tawaran kewangan dan kekayaan di bawah satu ekosistem yang mudah diakses, mengubah cara rakyat Malaysia melihat dan mendekati penciptaan kekayaan.

 

“Sebahagian besar kejayaan aplikasi Kenanga akan bergantung pada keupayaan kami untuk menyampaikan pengalaman pelanggan digital yang lancar dan menarik.

 

"Inilah sebab utama Kenanga mengguna pakai penyelesaian mPaaS AntChain kerana ia membolehkan kami mengembangkan aplikasi kami dengan pantas untuk mengikuti perubahan keperluan pelanggan kami dan bertindak balas dengan pantas dalam dunia hari ini,” katanyadalam satu kenyataan hari ini.

 

kenanga
Datuk Chay Wai Leong

 

Penyelesaian AntChain, dikenali sebagai Platform Mudah Alih sebagai Perkhidmatan (mPaaS), ialah produk yang berasal daripada aplikasi Alipay dan penyelesaian pengurusan kitaran hayat aplikasi mudah alih sehenti yang akan membolehkan Kenanga merealisasikan aplikasinya.

 

Produk mPaaS telah diuji oleh pelbagai jenama e-dagang dan e-dompet di seluruh rantau ini.

 

Ant Group Digital Technologies ialah peneraju global dalam rantaian blok, pengkomputeran privasi, teknologi keselamatan dan pangkalan data yang diedarkan.

 

Aplikasi itu akan memanjangkan rangkaian produk digital yang Kenanga telah dilancarkan, daripada platform dagangan saham dalam talian Rakuten Trade kepada Kenanga Digital Investing, penasihat robotik yang mengumpul lebih daripada RM250 juta aset di bawah pengurusan sejak dilancarkan pada Februari 2022. - DagangNews.com