KUALA LUMPUR 5 Okt - Kenanga Research menjangkakan hasil bagi hospital swasta bagi pasaran domestik dan antarabangsa meningkat pada akhir tahun didorong kecenderungan masyarakat mendapatkan rawatan selepas berakhirnya tempoh pandemik.
Firma penyelidikan itu berkata, IHH Healthcare Berhad berada di landasan terbaik bagi memenuhi unjuran pertumbuhan pendapatan FY23 bagi setiap pesakit dalam sebanyak 10% hingga 15% dan pertumbuhan daya pengeluaran pesakit dalam sebanyak 10% hingga 15% dan penghunian katil kadar (BOR) sebanyak 60% hingga 73% untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turki.
"Kami percaya faktor pertumbuhan utama itu disokong pembedahan elektif dan pelancong perubatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan) dan sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Acibadem Atasehir.
"Kami juga menyukai IHH kerana kuasa penetapan harganya untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta membolehkan mereka meneruskan kos yang lebih tinggi ketika peningkatan inflasi dan kehadirannya dalam pelbagai pasaran, iaitu Malaysia, Singapura, Turki dan China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research melihat peningkatan jualan farmaseutikal dan ubat di kaunter (OTC) disokong oleh peningkatan kesedaran kesihatan.
Katanya, penyelidik pasaran bebas The Statista Consumer Market Outlook mengunjurkan pasaran farmaseutikal OTC di Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 6% kepada anggaran AS$15 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027.
Unjuran itu berdasarkan sikap pengguna yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka (termasuk mengambil makanan tambahan kesihatan secara berkala), terutamanya selepas pandemik COVID-19.
"Trend ini memberi gambaran baik terhadap Kotra Industries Berhad yang mengeluarkan dan menjual suplemen OTC serta produk pemakanan dan farmaseutikal di bawah jenama isi rumah utama seperti Appeton, Axcel dan Vaxcel.
"Kami juga menyukai kumpulan itu kerana model perniagaan bersepadunya yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada R&D, konsep produk kepada pembuatan dan jualan serta margin unggul model perniagaan pembuatan jenama (OBM) asalnya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com