Kenanga Research jangka kehadiran pelanggan Padini meningkat pada 2HFY23 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka kehadiran pelanggan Padini meningkat pada 2HFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Padini Holdings Berhad dijangka mencatatkan peningkatan kehadiran pelanggan pada 2HFY23 di kebanyakan cawangannya selaras dengan musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

 

Kenanga Research berkata, kehadiran semula pelancong antarabangsa juga akan memacu jualan kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, pada FY23, Padini akan membuka kurang daripada 10 cawangan baharu di Malaysia (kombinasi cawangan Padini dan Brands Outlets, satu di Kemboja manakala antara dua dan tiga cawangan di Thailand).

 

"Padini sedar mereka tidak akan terlepas daripada tekanan kos yang berpunca daripada kenaikan tarif elektrik serta kenaikan kos tenaga pekerja.

 

"Kami percaya kesan itu boleh dikurangkan dengan menaikkan harga atau mengelakkan penurunan harga yang tidak perlu.

 

"Kami mengunjurkan margin keuntungan bersih sebanyak 13% pada FY23 didorong oleh campuran produk yang lebih baik (dengan lebih banyak produk dengan margin keuntungan tinggi)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga sedang melaksanakan transformasi digital dengan memperkenalkan teknologi automasi di kilangnya.

 

Firma itu menyukai Padini kerana menjadi penerima manfaat daripada pembukaan semula pejabat, sekolah dan aktiviti sosial selain kuasa membeli yang kukuh dalam kalangan sasaran utama iaitu kumpulan M40 selain kunci kira-kira yang sihat.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.00 sesaham.

 


"Kumpulan itu bagaimanapun dijangka berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan daripada pemain sedia ada dan baharu, inflasi tinggi yang berterusan yang akan memberi kesan terhadap kuasa membeli pengguna dan kenaikan harga tekstil," katanya. - DagangNews.com