KUALA LUMPUR 8 Mac - Kilang kedua pengeluaran karbon dioksida cecair (LCO2) Kelington Group Berhad yang dijadualkan siap pada 4QFY23 dijangka menyumbang perkembangan hasil sebanyak 60% kepada perniagaan gas industrinya.
Kenanga Research berkata, kilan pertamanya di Kerteh sudah beroperasi pada kapasiti 80% pada FY22 dan baru-baru ini mencapai kadar pengeluaran maksimum 50,000 tan setahun dan bagi memenuhi permintaan industri makanan serta minuman (F&B) di rantau Oceania, kumpulan itu membelanjakan modal sebanyak RM45 juta untuk membina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran 70,000 tan setahun.
"Kilang LCO2 kedua itu terletak bersebelahan kilang pertama di Kerteh dan akan memulakan operasi pada 4QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu menyatakan bahawa bekalan gas di tapak selama 10 tahun (hidrogen, nitrogen dan oksigen) untuk MNC optoelektronik di Kulim akan ditangguhkan kepada 4QFY23 tetapi pengiktirafan hasil akan bermula pada 3QFY23 mengikut kontrak perjanjian.
Katanya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada usaha kumpulan dalam mengembangkan aliran pendapatan berulangnya.
"Kumpulan itu menjangkakan segmen perniagaan gas industrinya untuk mencapai hasil RM100 juta pada FY23 yang diterjemahkan kepada pertumbuhan sebanyak 60%," katanya.
Sementara itu, firma itu berkata, walaupun terdapat sentimen berhati-hati dalam segmen semikonduktor, kumpulan itu yakin dapat menghasilkan prestasi kukuh pada FY23 berikutan tempahan projek tertunggaknya sebanyak RM1.71 bilion pada Disember 2022.
Katanya, kumpulan itu telah memperoleh anugerah pekerjaan RM170 juta lagi pada Jan 2023 dengan jangkaan mencapai RM1 bilion penambahan kerja pada FY23 dan ia disokong tender yang meningkat kepada RM2 bilion dengan China membentuk 46%, diikuti Singapura dengan 36% dan Malaysia sebanyak 18%.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.92 sesaham. - DagangNews.com