KUALA LUMPUR 20 Feb - Kenanga Research menjangkakan Malaysia Pacific Industries Berhad (MPI) catat keputusan suku tahun yang lebih lemah selepas kadar penggunaan kilang di Suzhou menurun kepada 30% daripada 41% pada 2QFY23.
Firma itu berkata, kadar penggunaan itu adalah jauh lebih rendah daripada paras pulang modal operasi sebanyak 70% selepas kadar pesanan kekal lemah walaupun selepas kerajaan mengangkat semula perintah larangan pergerakan akibat COVID-19.
"Kilang Suzhou dijangka terus beroperasi di bawah kadar pulang modal pada suku akan datang keranan permintaan dalam segmen elektronik pengguna semakin lemah.
"Penghantaran telefon pintar global merosot sebanyak 18.3% dari tahun ke tahun pada suku sebelumnya yang terdapat banyak cuti perayaan dan penghantaran komputer peribadi (PC) juga jatuh 28.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut kepada RM18.33 juta daripada RM85.32 juta setahun lalu akibat permintaan yang lebih rendah dalam pasaran elektronik pengguna.
Hasil pada suku berkenaan juga susust sebanyak 13.42% kepada RM526.42 juta daripada RM608 juta sebelumnya.
Prestasi suku tahunan yang lebih lemah mengakibatkan penguncupan 57.47% dalam keuntungan bersih bagi enam bulan pertama FY23 kepada RM71.03 juta, berbanding RM167 juta setahun lalu.
Hasil bagi tempoh itu juga susut 8.56% kepada RM1.09 bilion berbanding RM1.19 bilion.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk menangguhkan pembinaan kilangnya di China yang dijangka siap pada Disember 2023 kepada April 2024 kesan daripada penurunan kadar tempahan pelanggan.
Sementara itu, kadar penggunaan kedua-dua kilangnya di Ipoh adalah stabil walaupun terdapat penurunan kecil disebabkan oleh pesanan yang lebih rendah daripada segmen pusat data.
"Bagaimanapun kadar tempahan untuk segmen automotif yang sebelum ini menyumbang kira-kira 43% daripada hasil kumpulan, kekal stabil.
"Kumpulan itu juga menjangkakan menjangkakan kumpulan itu berdepan kos operasi yang lebih tinggi pada 2023 dengan tarif elektrik yang lebih tinggi (tambahan RM10 juta setiap suku) dan kenaikan gaji (RM1 juta setiap suku)," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM20.00 sesaham. - DagangNews.com