Kenanga Research jangka untung IGB REIT kembali normal pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka untung IGB REIT kembali normal pada FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Kenanga Research menjangkakan keuntungan IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) akan kembali normal pada FY23 selepas menunjukkan prestasi pendapatan yang kukuh pada tahun ini.

 

Syarikat hartanah itu juga merekodkan keuntungan bersih bagi 9MFY22 sebanyak RM252.2 juta atau dua kali ganda jumlah keuntungan bagi tempoh sama tahun lalu hasilpemulihan pendapatan berikutan peralihan COVID-19 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada 18 Oktober 2021.

 

Purata pendapatan sewa bulanan kasar REIT telah melepasi paras 2019 di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.

 

"Prestasi suku tahun akhir mungkin terjejas oleh kuasa beli yang lebih lemah kesan tekanan inflasi yang tinggi dan kebimbangan kemelesetan ekonomi serta masalah industri yang berterusan seperti kekurangan tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, prestasi keuntungan IGB REIT yang kukuh selaras dengan lonjakan 46% dalam hasil kasar kepada RM407.7 juta pada 9MFY22 kerana ia menyediakan sokongan sewa minimum kepada penyewa sementara ekonomi dibuka semula dan jualan penyewa bertambah baik.

 

"Mid Valley Megamall menyumbangkan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM224.2 juta (atau 71% daripada jumlah NPI) manakala The Gardens Mall membentuk baki RM90.4 juta (atau 29% daripada NPI).

 

"Kedua-dua pusat membeli-belah terus menikmati kadar penghunian tinggi masing-masing sebanyak 99.7% dan 99.9%%, pada akhir September 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran keuntungan bersihnya untuk FY22 dan FY23.

 

Firma itu mengunjurkan dividen FY22 dan FY23 seunit masing-masing sebanyak 9.7 sen dan 9.9 sen, menjangkakan hasil sebanyak 6.3% dan 6.4%.

 

"Kami mengekalkan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.65," katanya. - DagangNews.com