Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap operator pelabuhan didorong prospek perdagangan global lemah | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap operator pelabuhan didorong prospek perdagangan global lemah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor logistik dan kekal berhati-hati terhadap operator pelabuhan berdasarkan prospek perdagangan global yang lemah.

 

Firma itu berkata, Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) sebelum ini menyemak turun unjuran perkembangan perdagangan antarabangsa untuk 2022 kepada 3% berbanding 4.7% selain kekal berhati-hati terhadap unjuran 2023 sebanyak 3.4%.

 

Katanya, kemelesetan ekonomi di Eropah hampir berlaku didorong oleh konflik Rusia-Ukraine yang menyebabkan krisis tenaga selain China juga tidak menunjukkan sebarang perubahan untuk keluar daripada fasa pandemik COVID-19 dalam masa terdekat menjadikan berlakunya gangguan rantaian bekalan.

 

"Kami percaya bahawa Bintulu Port Holdings Berhad dapat mengatasi cabaran makroekonomi ini didorong oleh operasi stabil dalam mengendalikan kargo gas asli cecair (LNG) selain potensi kenaikan tarif di Pelabuhan Bintulu.

 

"Ia juga didorong potensi perkembangan jangka panjang Pelabuhan Perindustrian Samalaju hasil daripada peningkatan pelaburan dalam industri berat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, sektor logistik tempatan berpotensi untuk berkembang didorong permintaan domestik dan perkembangan pesat perniagaan e-dagang.

 

Katanya, pakar industri mengunjurkan dagangan kasar e-dagang domestik berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 11% dari 2022 hingga 2027, manakala saiznya boleh mencecah RM1.65 trilion menjelang 2025 daripada RM1 trilion pada masa ini.

 

"Perkembangan sektor e-dagang akan merangsang permintaan untuk had pengedaran dan gudang bagi membolehkan penhantaran tepat pada masa, membawa pekilang lebih dekat dengan pelanggan akhir selain mengurangkan kos pengangkutan selain risiko gangguan rantaian bekalan.

 

"Terdapat juga peningkatan permintaan untuk gudang penyimpanan sejuk beku selaran dengan percambahan syarikat runcit pemula baharu di dalam talian," katanya. - DagangNews.com