Kenanga Research kekal penarafan 'overweight' terhadap sektor bahan binaan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan 'overweight' terhadap sektor bahan binaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'overweight' bagi bahan binaan dan sektor pembinaan, menamakan Engtex Group Berhad serta Press Metal Aluminium Holdings Bhd sebagai pilihan utamanya.

 

Katanya, mereka menjangkakan, harga stabil bagi kedua-dua logam ferus dan bukan ferus disebabkan kekangan bekalan daripada peraturan alam sekitar yang lebih ketat dan sekatan Barat terhadap pengeluar Rusia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk logam bukan ferus akan didorong oleh pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di peringkat global, manakala di dalam negara, permintaan untuk logam ferus dan produk nilai tambahnya disokong dengan baik oleh pelancaran projek infrastruktur tempatan.

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap harga keluli disebabkan kelemahan pasaran China, begitu juga, dengan ketiadaan pemulihan kukuh projek infrastruktur dan hartanah.

 

"Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan bagi pengeluar logam ferus dan bukan ferus OM Holding Ltd (Outperform; TP: RM1.80) pada FY24 didorong oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, permintaan tempatan untuk keluli dan produk nilai tambahnya seperti sistem sokongan kabel seharusnya bertambah baik seiring dengan pelancaran projek infrastruktur awam mega seperti Laluan Mutiara LRT Pulau Pinang, Kuching ART dan MRT3. 

 

Katanya, United U-LI Corporation Bhd (Outperform; TP: RM2.38) merupakan pengeluar tempatan yang dominan bagi sistem sokongan kabel yang digunakan secara meluas dalam pusat data baharu, gudang, hospital dan projek infrastruktur.

 

Kenanga Research berkata, pembuat paip air dijangka memiliki prospek menarik apabila pengendali air memulakan projek air yang telah lama tertunggak disokong oleh kewangan yang lebih kukuh berikutan kenaikan tarif air baru-baru ini termasuk inisiatif pengurangan air tanpa hasil (NRW) atau penggantian paip dan pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air.

 

Katanya, operator air negeri Selangor Air Selangor, misalnya, telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan NRW daripada 36% pada 2021 kepada 15% menjelang 2049.


"Kami difahamkan bahawa operator air kini sedang mengenal pasti paip lama untuk diganti dan mengusahakan kos untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kelulusan," katanya. - DagangNews.com