Kenanga Research kekal penarafan 'underweight' terhadap sektor hartanah kesan lebihan bekalan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan 'underweight' terhadap sektor hartanah kesan lebihan bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor hartanah kesan daripada pelbagai cabaran termasuk lebihan bekalan di dalam pasaran.

 

Katanya, selain itu sektor itu juga berdepan dengan isu hutang isi rumah dan kadar faedah yang tinggi dan sentimen pengguna yang lemah akibat inflasi yang tinggi serta peningkatan kos sara hidup. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran telah menetapkan harga yang mencukupi untuk kesan segera dan jangka pendek pelaburan pusat data serta transformasi ekonomi Johor kepada sektor itu.

 

"Sektor hartanah Malaysia akan terus mengutamakan kemampuan yang dipacu oleh pertumbuhan penduduk dan perbandaran.

 

"Pembangunan berorientasikan transit, terutamanya di Lembah Klang, dijangka mendapat tarikan apabila pembeli mencari pilihan perjalanan yang mudah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, walaupun terdapat perubahan ekonomi dan cabaran kawal selia, sektor itu telah menunjukkan daya tahan. 

 

Katanya, pemaju memberi tumpuan kepada rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat dan ketidaktentuan ekonomi, manakala segmen perindustrian menjangkakan pertumbuhan didorong oleh pengembangan e-dagang dan pembuatan.

 

"Namun begitu, kami melihat permintaan positif dalam segmen perumahan mampu milik.

 

"Kami menyemak turun penarafan Mah Sing Group Bhd (TP: RM1.87) kepada 'market perform' dan Sime Darby Property  Bhd (TP: RM1.08) dan UOA Development (TP: RM1.79) kepada 'underperform' berdasarkan penilaian sebelum ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pilihan utama mereka bagi sektor itu ialah MKH Bhd (TP: RM1.83) berdasarkan kekpada focus mereka terhadap rumah mampu milik di bawah RM500,000 dengan permintaan kukuh daripada pembeli rumah kali pertama.

 

Katanya, ia juga didorong projek pembangunan berorientasikan transit yang akan mendapat manfaat daripada peralihan kepada pengangkutan awam daripada kenderaan persendirian berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, dan perniagaan perladangannya yang berkembang di Kalimantan. - DagangNews.com