KUALA LUMPUR 29 Mac - Kenanga Research mengekalkan unjuran kadar pertumbuhan lebih konservatif sebanyak 10% bagi media digital pada 2023.
Firma itu berkata, selain daripada penurunan tidak dijangka bagi perbelanjaan periklanan (adex) semasa suku keempat 2022, platform digital kekal berdaya tahan sejak Nielsen merekodkan adex.
Bagaimanapun katanya, memandangkan masalah makroekonomi yang berterusan dan pemangkin terhad untuk sektor itu secara keseluruhan, firma menjangkakan pertumbuhan akan kembali normal pada 2023 terutamanya selepas asas yang lebih kukuh.
"Kami juga percaya bahawa kejatuhan dalam adex digital pada suku keempat 2022 adalahberpunca daripada kelemahan kadar pertukaran mata wang asing dan permintaan kembali untuk saluran pengiklanan secara peribadi.
"Kami menjangkakan medium tersebut akan berkembang apabila pengiklan tertarik kepada platform yang membolehkannya memanfaatkan sepenuhnya perbelanjaan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengunjurkan pertumbuhan adex tahun penuh yang lebih konservatif sebanyak 2.8% pada tahun ini disebabkan oleh gabungan kekurangan peristiwa utama dan cabaran makroekonomi global yang menandakan prospek yang lebih lemah untuk adex.
Katanya, bagi suku kedua 2023 juga akan memperlihatan adex lebih lemah kerana pengiklan berbelanja untuk iklan pada suku pertama selaras dengan sambutan perayaan.
"Walaupun sentimen pengguna bertambah baik, tekanan inflasi dan kebimbangan kemelesetan yang menjulang terus menyelubungi prospek ekonomi global, melemahkan sentimen keseluruhan walaupun ekonomi dibuka sepenuhnya," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu. - DagangNews.com