Kenanga Research mulakan liputan terhadap HPP Holdings dengan saranan 'outperform', TP 46 sen | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap HPP Holdings dengan saranan 'outperform', TP 46 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kenanga Research memulakan liputan terhadap HPP Holdings Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) 46 sen sesaham.

 

Firma itu berkata, TP yang ditetapkan itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 13x pada premium kepada gandaan hadapan purata bagi saham pembuatannya sebanyak 11.8x.

 

Katanya, penarafan itu memberi gambaran prospek perkembangan yang kukuh dalam industri elektronik pengguna yang merupakan pelanggan utama bahan pembungkusan bercetak kumpulan itu.

 

"Kumpulan itu dilengkapi pensijilan G7 Master Colourspace yang diiktiraf di peringkat global, menjadikannya kukuh dalam rantaian bekalan syarikat multinasional dalam menyediakan reka bentuk, pelbagai warna dan penyelesaian percetakan offset atau flexographic resolusi tinggi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, pangkalan pelanggannya terdiri daripada pelanggan yang berprestij, memberikan gambaran bahawa produk yang dihasilkan berkualiti selain perkhidmatan yang cemerlang.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko pada masa akan datang termasuk harga kertas yang tidak stabil di dalam pasaran global.

 

"Jumlah pelanggan juga menjadi antara risiko yang perlu dihadapi selain pemulihan permintaan untuk industri pembungkusan kesan daripada pandemik dan kemelesetan ekonomi global," katanya. - DagangNews.com