KUALA LUMPUR 17 April - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Techbond Group Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran 45 sen sesaham sejajar dengan pesaingnya dalam sektor pelekat.
Firma itu menyukai kumpulan itu kerana perniagaannya berpaksikan kepada pelanggan, pembekal penyelesaian dan model pengilang.
Selain itu katanya, kumpulan itu mempunyai asas pelanggan yang kukuh merentas sektor pengguna serta kerja kayu dan ia diperkukuhkan dengan penyepaduan operasi huluan serta pertengahannya selain pengembangan baru-baru ini dengan pemerolehan Malaysian Adhesives and Chemicals (MAC) daripada PPB Group Berhad (outperform; TP: RM19.30).
“Walaupun kumpulan itu jauh lebih kecil daripada persainya, kami percaya PER adalah wajar memandangkan perniagaan dan pendedahan kepada pasaran khusus dengan persaingan yang kurang.
“Digabungkan dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan yang kukuh berikutan normalisasi keuntungannya merentas kumpulan teras serta MAC, kami percaya prospek pendapatan menyediakan asas untuk berbilang yang lebih tinggi walaupun saiznya lebih kecil.
"Tiada pelarasan kepada TP kami berdasarkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diberikan penarafan 3 bintang seperti yang dinilai oleh kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Bagaimanapun, firma itu berkata, kumpulan itu berdepan dengan beberapa cabaran termasuk kemerosotan berterusan dalam sektor perabot, pengeluaran lebih rendah daripada jangkaan dan risiko tukaran mata wang asing. - DagangNews.com