Kenanga Research nasihat pelabur elak sektor sarung tangan getah buat masa ini | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research nasihat pelabur elak sektor sarung tangan getah buat masa ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'underweight' untuk sektor sarung tangan dan menyatakan ia gagal mencapai jangkaan.

 

Firma itu berkata, tiada sebarang peningkatan kepada pembuat sarung tangan bagi suku tahun keempat 2022 kerana mereka terus mencatatkan kerugian yang lebih besar.

 

Firma itu berkata, keputusan yang dicatatkan menunjukkan kerugian berulang pada suku berikutnya dengan purata harga jualan mencatatkan penurunan (pada kadar lebih perlahan) dan ia ditambah dengan kos yang tinggi selain kadar penggunaan loji yang rendah.

 

"Kami berbeza pandangan berbanding Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yang menjangkakan industri itu akan mencatatkan perubahan pada tahun ini.

 

"Berdasarkan unjuran permintaan-bekalan kami, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dengan permintaan konsisten bagi mengisi sepenuhnya kapasiti industri yang berlebihan semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma mengunjurkan purata harga jualan (ASP) oada 2023 adalah 1,000 keping pada harga AS$20 (RM90), penurunan 10% berbanding 2022 dan kadar penggunaan kilang sebanyak 50% berbanding 60% pada tahun lalu.

 

"Semasa kemelesetan 2014/2015, ASP sarung tangan nitril turun serendah AS$17/AS$18 (RM77/RM81) setiap 1,000 keping manakala penggunaan industri adalah sekitar 65%-70%.

 

"Kami menasihatkan pelabur untuk mengelakkan sektor itu buat sementara waktu dan buat masa sekarang kami tidak mempunyai sebarang pilihan utama dalam sektor itu," katanya. - DagangNews.com