Kenanga Research positif terhadap cadangan Swift Haulage tingkatkan pegangan dalam Global Vision Logistics | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap cadangan Swift Haulage tingkatkan pegangan dalam Global Vision Logistics

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kenanga Research positif terhadap cadangan Swift Haulage Berhad untuk meningkatkan pegangannya dalam Global Vision Logistics Sdn. Bhd. (GVL), yang akan memberi peluang untuk mengembangkan perniagaan gudangnya.

 

Firma itu berkata, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu itu sedang mencari untuk memperoleh tambahan 17.5% pegangan dalam syarikat bersekutunya GVL daripada Aspen Vision Properties Sdn. Bhd. pada harga RM19.2 juta, sekali gus meningkatkan pegangannya kepada 42.5%.

 

Firma itu mengalu-alukan langkah itu kerana GVL adalah pemegang pajakan tanah seluas 28.7 hektar di Shah Alam, yang akan dibangunkan menjadi hab logistik hijau enam juta kaki persegi.

 

Katanya, projek yang dicadangkan itu akan menjadi hab logistik terbesar di Asia (tidak termasuk China), dengan kos RM1.3 bilion, menjelang 2028.

 

Firma itu berkata, jumlah itu akan dibiayai melalui Sukuk SRI Hijau Asean, dengan nilai nominal sehingga RM1.5 bilion.

 

"Fasa pertama pembangunan itu memerlukan 2.8 juta kaki persegi ruang gudang pada harga RM700 juta, yang akan disiapkan menjelang Mei 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu berdasarkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran logistik Malaysia dengan menguasai hampir 10% bahagian pasaran.

 

Selain itu katanya, tawaran bersepadu menambah nilai yang menghasilkan margin keuntungan sebelum cukai lebih baik sebanyak 10% berbanding purata industri sebanyak 4%, dan potensi pertumbuhan luar biasa perniagaan pergudangannya, menunggang pada e-dagang domestik yang berkembang pesat.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran lain termasuk kos bahan api yang kekal tinggi, kemelesetan global menjejaskan permintaan untuk perkhidmatan pengangkutan, dan kelewatan dalam pelan pembesaran gudang utamanya," katanya. - DagangNews.com