Kenanga Research 'potong' unjuran pendapatan FY23 Public Bank sebanyak 6% kesan sumbangan pendapatan bukan faedah lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research 'potong' unjuran pendapatan FY23 Public Bank sebanyak 6% kesan sumbangan pendapatan bukan faedah lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan Public Bank Berhad bagi FY23 sebanyak 6% atas sumbangan pendapatan bukan faedah yang lebih perlahan iaitu pendapatan berasaskan fi. 

 

Firma itu bagaimanapun menjangkakan kumpulan itu mencatatkan perkembangan pendapatan bagi FY24 sebanyak 3% hasil sokongan sederhana daripada semua aliran hasil.

 

Firma itu berkata, jumlah pendapatan FY22 meningkat sebanyak 7%, didorong oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi (+11%).

 

Katanya, margin faedah bersih berkembang kepada 2.37% (+15bps) hasil kitaran menaik kadar dasar semalaman (OPR) manakala pendapatan bukan faedah susut 7% apabila pendapatan saham dan prestasi unit amanah mencatatkan kejatuhan.

 

"Nisbah kos-pendapatan secara relatifnya stabil pada 31.5% kerana perbelanjaan bergerak seiring dengan pertumbuhan.

 

"Sementara itu, kos kredit adalah lebih baik dengan ketara pada 10bps (-24 bps) apabila kebimbangan kualiti aset semakin berkurangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM1.71 bilion pada 4QFY22 berbanding RM1.38bil pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Keputusan itu menjadikan keuntungan bersih setahun penuh bank itu kepada RM6.12 bilion, yang meningkat daripada RM5.66 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedar dengan cabaran makro yang akan memberi kesan terhadap prospek ekonomi dan pada masa sama akan mengekalkan fokus utamanya adalah untuk mengelak daripada menjejaskan kualiti aset.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa ia masih mampu mencari peluang dalam akaun berkualiti tinggi melalui margin pembiayaan yang lebih tinggi.

 

"Kumpulan itu berpendapat bahawa margin faedah yang diperoleh akan terjejas," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.90 sesaham. - DagangNews.com