Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@Dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Jan - Kenanga Research meramalkan kadar pengangguran negara akan menurun kepada 3.9% pada tahun 2022.
Firma penyelidikan itu berkata, momentum pemulihan itu dilihat semakin baik pada 2022 dengan ekonomi negara semakin berkembang diperkukuhkan dengan sokongan polisi kerajaan dan permintaan luar yang semakin bertambah.
"Kami sangat optimis dengan pasaran tenaga kerja pada 2022 dengan sebahagian besarnya disumbangkan penurunan risiko berkaitan varian baharu COVID-19 yang mungkin akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan kadar pengangguran negara pada November 2021 mencecah bawah 700,000 individu dan ia merupakan yang terendah sejak April 2020 namun pengangguran kekal pada kadar 4.3% untuk dua bulan berturut-turut.
Kenanga Research dalam nota kajiannya menjangkakan pasaran tenaga kerja akan terus menunjukkan pemulihan bermula Disember 2021 dan mencecah kadar 4.6% pada tahun itu.
Ia adalah sejajar dengan pembukaan semula sektor ekonomi domestik yang turut dipacu oleh kempen pemberian vaksin COVID-19.
"Jumlah individu yang tidak bekerja menurun kepada 694,400 pada November 2021 berbanding 705,000 pada Oktober 2021.
"Sektor tenaga kerja berkembang sebanyak 0.2% pada November 2021 daripada 0.4% pada Oktober pada kadar yang sangat perlahan dan menjadikan jumlah mereka meningkat kepada 16.3 juta berbanding 16.26," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, penglibatan tenaga kerja meningkat selama empat bulan berturut-turut kepada 69% pada November 2021 daripada 68.8% pada Oktober tahun sama.
Jumlah itu direkodkan kerana individu kembali mencari pekerjaan selain kurang penglibatan tenaga kerja asing. - DagangNews.com