Kenanga Research ramal Mah Sing berada di landasan tepat capai sasaran jualan RM2.5 bilion pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal Mah Sing berada di landasan tepat capai sasaran jualan RM2.5 bilion pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Kenanga Research meramalkan Mah Sing Group berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan minimum sebanyak RM2.5 bilion pada FY24.

 

Katanya, tempahan bagi jualan hartanah pada Ogos 2024 berada pada paras RM1.6 bilion dan pada kebiasaannya separuh kedua tahun akan menyumbang antara 55% hingga 65% daripada jualan setahun penuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada ketika ini, jualan yang belum dibilkan berjumlah RM2.4 bilion.

 

"Pada FY24, kumpulan itu merancang untuk melancarkan tujuh projek baharu berjumlah RM2.8 bilion dan daripada jumlah itu, 61% daripadanya adalah di Lembah Klang dengan 72% daripadanya berharga di bawah RM500,000.

 

"Produk tersebut akan memenuhi segmen pasaran yang pelbagai, terutamanya rumah mampu milik dan pembeli rumah kali pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras Mah Sing pada 1HFY24 sebanyak RM120.3 juta meneptai jangkaan masing-masing sebanyak 49% dan 50% daripada ramalan tahun penuh serta anggaran konsensus

 

Bagaimanapun, hasil 1HFY24 merosot 12% disebabkan pengebilan kemajuan yang lebih perlahan kerana kebanyakan projek yang sedang berjalan adalah baharu dan pada peringkat awal pembinaan. 

 

Keuntungan bersih teras 1HFY24 meningkat 20%, hasil gabungan produk yang lebih baik dengan lebih banyak produk margin yang lebih tinggi.

 

Kenanga Research berkata, dalamstrategi pusat datanya, kumpulan itu menjangkakan portfolionya untuk meningkatkan pendapatan jangka panjang melalui pendapatan berulang dan peluang membuka nilai.

 

Katanya, merancang untuk mengembangkan operasi pusat datanya di Southville City untuk 90MW lagi dan di Meridin East di Johor melalui penjualan tanah di sana, yang kini sedang dalam perbincangan dengan pemain lain.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana tumpuannya kepada produk mampu milik yang menyasarkan pembeli rumah kali pertama dan pengurusan bank tanah yang baik disokong oleh kunci kira-kira bersih serta aliran pendapatan berulang yang lebih ketara berikutan usaha ke pusat data," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham. - DagangNews.com