KUALA LUMPUR 16 Feb - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan MISC Berhad sebanyak 39% bagi FY23 selepas mengambil kira kadar pengangkutan yang lebih tinggi untuk bahagian perkapalan petroleumnya.
Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas kumpulan itu berjaya merekodkan untung teras bersih sebanyak RM2.4 bilion pada FY22, mengatasi ramalan firma itu dan anggaran konsensus masing-masing sebanyak 23% dan 29%.
"Unjuran itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar pengangkutan yang lebih tinggi dan ia membantu meningkatkan pendapatan segmen petroleum kumpulan serta penghantaran produknya
"Kadar pasaran perkapalan petroleum terus mengukuh didorong oleh sekatan KEsatuan Eropah (EU) ke atas Rusia, serta peningkatan import minyak mentah ke Asia dan pelonggaran sekatan COVID-19 di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan lonjakan pendapatan pada 4QFY22, menyaksikan prospek yang memberangsangkan dalam segmen operasinya.
Untung bersih kumpulan meningkat 39.7% kepada RM645 juta, mewakili pendapatan sesaham 14.4 sen.
Kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM4.17 bilion, iaitu 35.26% lebih tinggi daripada suku yang sama sebelumnya, berikutan sumbangan yang lebih baik daripada pelbagai segmen.
Sepanjang tahun kewangan, keuntungan bersih kumpulan mencecah RM1.82 bilion, yang setanding dengan RM1.83 bilion pada FY21 manakala hasil meningkat kepada RM13.87 bilion daripada RM10.67 bilion.
Firma itu berkata, hasil kumpulan itu juga dibantu oleh segmen aset dan penyelesaian gas yang lebih baik disebabkan oleh perbelanjaan operasi (opex) yang lebih rendah daripada aktiviti dok kering.
Bagaimanapun keadaan itu diimbangi sebahagiannya oleh sumbangan yang lebih rendah daripada perniagaan luar pesisirnya akibat peningkatan kos pembinaan dalam projek Mero-3 FPSO yang timbul daripada isu rantaian bekalan global dan penutupan di China.
Firma itu menyukai kumpulan itu kerana kontrak LNG jangka panjangnya akan menyediakan daya tahan yang baik untuk aliran tunai selain mendapat manfaat daripada pemulihan kadar tangki petroleum.
"Bagaimanapun, bagi jangka pendek, kami percaya kumpulan itu mungkin menghadapi beberapa peningkatan kos projek, terutamanya dalam Mero-3 FPSO," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM7.50 sesaham. - DagangNews.com