KUALA LUMPUR 20 Sept - Kenanga Research menyemak turun penarafan Gas Malaysia Berhad kepada 'market perform' daripada 'outperform' dan percaya pendapatannya akan memuncak pada FY22 apabila harga gas kembali stabil.
Bagaimanapun, firma itu berkata, pendapatan jangka panjang kumpulan itu kekal defensif dan disokong perniagaannya yang dikawal selia dengan pemberian hasil dividen melebihi 6%.
Pada masa sama, firma itu mengekalkan harga sasaran (TP) RM3.43 dan tiada sebarang perubahan unjuran pendapatan dibuat bagi FY22/FY23 berdasarkan kepada perkembangan permintaan sebanyak 3%.
"Kami berpandangan neutral terhadap kumpulan itu berikutan prestasi harga sahamnya yang semakin kukuh sejak kebelakangan ini.
"Pemangkin penarafan semula kumpulan itu adalah berdasarkan kepada peningkatan harga gas di peringkat global dan telah memuncak dengan ketara sekali gus membuatkan perniagaan yang tidak dikawal selia berkembang dengan baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, terdapat perubahan ketara terhadap harga gas di Malaysia tetapi kumpulan itu mengenakan caj kepada pelanggan mereka berdasarkan Harga Rujukan Malaysia (MRP) bersama kos operasi serta margin keuntungan dan mereka menjangkakan harga MRP pada masa akan datang akan menjadi lebih rendah.
Katanya, kumpulan itu tidak lagi berkongsi data penjualan sejak 1QFY22 atas dasar persaingan di bawah pasaran yang semakin terbuka tetapi mereka memberi bayangan terdapat pemintaan yang lebih perlahan berbanding sebelum ini.
Dipercayai kelemahan itu berkaitan dengan pengeluaran yang lebih rendah oleh sektor pembuatan sarung tangan yang menyumbang sebanyak satu pertiga daripada perniagaan kumpulan.
"Bagaimanapun, mereka berdepan pelbagai risiko termasuk risiko kawal selia, turun naik margin keuntungan perniagaan yang tidak dikawal selia selain kelembapan ekonomi yang akan menjejaskan ermintaan terhadap gas," katanya. - DagangNews.com