KUALA LUMPUR 24 Mei - Kenanga Research menyemak turun ramalan pendapatan FY24 Icon Offshore Bhd sebanyak 56% kesan penurunan kadar penggunaan kapal kepada 75% berbanding 79% sebelum ini.
Firma penyelidikan itu positif terhadap unjuran pasaran kapal sokonga luar pesisir (OSV) berikutan permintaan kukuh tetapi berdepan masalah kekurangan bekalan.
"Kumpulan itu mungkin tidak dapat memanfaatkan kekuatan pasaran semasa kerana kapalnya mungkin tiada dalam perkhidmatan disebabkan usia armadanya yang semakin tua," katanya alam atu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian teras sebanyak RM21.4 juta pada 1QFY24 berbanding ramalan keuntungan bersih setahun penuh firma itu sebanyak RM28.9 juta dan anggaran keuntungan bersih konsensus setahun penuh sebanyak RM22.6 juta.
Varian terhadap ramalan itu sebahagian besarnya datang daripada penggunaan kapal yang lebih rendah daripada jangkaan pada masa penyelenggaraan yang dilanjutkan.
Hasil kumpulan juga merosot sebanyak 30% pada 1QFY24 atas penggunaan kapal yang lebih rendah sebanyak 50% (berbanding 73% setahun yang lalu) terutamanya disebabkan oleh masa henti kapal yang lebih Panjang dengan penyelenggaraan mengambil masa lebih lama daripada biasa.
Dengan kos tambahan yang ditanggung berkaitan sewa kapal pihak ketiga bagi memenuhi keperluan dan inflasi kos am yang timbul daripada situasi rantaian bekalan industri, kerugian bersih terasnya semakin meluas.
Kenanga Research menyukai Icon Offshore kerana menjadi penerima manfaat daripada kitaran naik pasaran OSV tempatan selain memiliki kunci kira-kira yang semakin kukuh dan asas kosnya yang stabil.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu bimbang tentang penggunaan kapal yang lemah dalam tempoh terdekat.
"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com