Kenanga Research unjur jualan sebanyak 720,000 unit kereta pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur jualan sebanyak 720,000 unit kereta pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Kenanga Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit selaras dengan rekod yang dicapai pada 2022.

 

Firma itu berkata, keyakinan itu disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat selain tiada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk sementara waktu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Selain itu katanya, ia turut disokong harga kereta baharu yang stabil kesan daripada penangguhan peraturan duti eksais baharu dan kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah mengurangkan baki dalam pengiraan caj faedah, dan model kereta baharu yang menarik.

 

Firma itu berkata, keterlihatan pendapatan industri automotif adalah kukuh, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 350,000 unit pada akhir Februari 2023, yang bersamaan dengan hampir separuh daripada unjuran TIV 2023.

 

“Pilihan utama kami bagi sektor automotif ini ialah MBM Resources Berhad (outperform; TP: RM4.60) dan Bermaz Auto Berhad (outperform; TP: RM2.90) kerana kedua-duanya dengan hasil dividen menarik kira-kira 7%,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, selain daripada tunggakan tempahan yang kukuh sebanyak 350,000 unit, keterlihatan pendapatan pengeluar juga disokong oleh peningkatan margin berikutan model baharu, seperti Perodua Axia yang berharga lebih tinggi antara 11% dan 14% pada RM38,600 dan RM49,000, dengan 27,000 unit sudah ditempah.

 

“Peningkatan dalam margin juga akan disokong oleh penurunan harga komoditi dan komponen utama, penstabilan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit dan pengurangan inventori kos tinggi secara beransur-ansur apabila pembuat kereta meningkatkan pengeluaran untuk menghantar tempahan yang tertunggak,” katanya. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'oveweight' bagi sektor itu. - DagangNews.com