Kenanga Research unjur kehadiran pesakit ke hospital KPJ berkembang 12% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur kehadiran pesakit ke hospital KPJ berkembang 12% pada 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kenanga Research mengunjurkan kehadiran pesakit ke hospital KPJ Healthcare Berhad berkembang sebanyak 12% pada 2023 manakala kadar penghunian katil (BOR) pula dijangka mencecah 66% berbanding 55% pada 2022.

 

Firma itu berkata, unjuran itu didorong oleh pemulihan dalam permintaan  untuk perkhidmatannya khusus tidak berkaitan dengan COVID-19 dan pembedahan elektif.

 

"KPJ menjangkakan pemulihan permintaan untuk perkhidmatannya akan diteruskan ke suku akan datang berikutan peningkatan pesakit domestik dan antarabangsa.

 

"Permintaan untuk pembedahan elektif juga meningkat dalam kalangan pesakit domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mengharapkan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) akan mencatatkanpendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif pada 2023 dan mencatatkan pulangan modal pada hujung 2025.

 

Katanya, strategi mereka adalah untuk menggunakan 50% kapasiti mereka ke arah pelancongan kesihatan selain menawarkan perkhidmatan intensiti hasil tinggi termasuk pembedahan elektif seperti pembedahan saraf, pembedahan jantung, gastroenterologi & prosedur endoskopi dan ortopedik.

 

"Lazimnya, pesakit antarabangsa atau pelancong perubatan akan membayar premium 25% lebih tinggi berbanding rakyat tempatan," katanya,

 

Firma itu menyukai KPJ kerana harga yang elastik untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyaksikan mereka kurang terdedah kepada tekanan inflasi tinggi kerana boleh melepaskan kos yang tinggi.

 

Katanya, pembukaan semula ekonomi membolehkan mereka menjalankan pembedahan elektif dan kedudukan yang kukuh di pasaran domestik dengan rangkaian 29 hospital di seluruh negara.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.16 sesaham," katanya. - DagangNews.com