Kenanga Research unjur LPI Capital berdepan tekanan tinggi akibat penurunan tarif berterusan dalam segmen insurans kebakaran | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur LPI Capital berdepan tekanan tinggi akibat penurunan tarif berterusan dalam segmen insurans kebakaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Kenanga Research mengunjurkan LPI Capital Berhad berdepan tekanan tinggi berikutan penurunan tarif berterusan dalam segmen insurans kebakaran akibat harga pasaran yang lebih kompetitif.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berdepan cabaran dalam segmen insurans motor pada separuh kedua 2023, walaupun tidak sehebat segmen insurans kebakaran kerana bahagiannya lebih kecil.

 

"Nisbah tuntutan menyaksikan sedikit penurunan daripada normalisasi aktiviti keseluruhan tetapi premium insurans semula mungkin terus meningkat apabila kejadian banjir berlaku lebih kerap, mendorong penilaian semula berterusan perlindungan insurans," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan meningkat 13.7% kepada RM73.83 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM64.9 juta setahun lalu.

 

Pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM463.30 juta daripada RM416 juta.

 

Keputusan positif itu disebabkan prestasi portfolio pelaburannya yang lebih baik.

 

Firma itu berkata, bemula 1 Januari 2023, kumpulan itu telah menggunakan piawaian MFRS 17 bagi menggantikan MFRS 4 yang mengagihkan pengiktirafan hasil kontrak insurans dan insurans semula secara seragam tetapi turut menukar pembentangan perakaunan, seperti penyingkiran “premium perolehan bersih” untuk “insurans hasil perkhidmatan”. 

 

Katanya, pendapatan bagi 1QFY23 yang dinyatakan semula menyaksikan perubahan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak 5.5%, dan pulangan ekuiti dipertingkatkan sebanyak 0.7ppt.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM14.70 sesaham.

 

"Bagaimanapun, firma itu berdepan beberapa risiko termasuk premium taja jamin yang lebih, tuntutan yang lebih tinggi daripada jangkaan dan nisbah perbelanjaan pengurusan yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com