KUALA LUMPUR 27 Feb - Kenanga Research mengunjurkan pendapatan Kontra Industries Berhad didorong perkembangan jualan bagi FY23 dan FY24 sebanyak 16% serta 12% kesan peningkatan trend pengambilan makanan tambahan kesihatan untuk meningkatkan daya tahan terhadap penyakit berjangkit.
Firma itu berkata, peningkatan pendapatan itu akan disokong margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) antara 34% hingga 35% bergantung kepada skala ekonomi dan peningkatan jualan tambahan.
Katanya, kadar cukai berkesan antara 8% hingga 10% pada FY23 dan FY24 di bawah kadar berkanun disebabkan kerugian perniagaan yang tidak diserap dan elaun pelaburan semula yang tidak digunakan.
"Bagai memperkasakan pasaran ubat-ubatan di kaunter (OTC) domestik pada masa hadapan merupakan petanda baik untuk kumpulan kerana segmen itu membentuk lebih separuh daripada hasil atau 53% daripada hasil FY22.
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan memanfaatkan peningkatan perbelanjaan kesihatan yang perlu dibayar kepada farmasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, keuntungan bersih 1HFY23 sebanyak RM35 juta melebihi jangkaan, masing-masing mencapai 56% dan 58% daripada ramalan setahun penuh dan anggaran konsensus tahun penuh.
Katanya, varians terhadap unjuran itu sebahagian besarnya datang daripada jualan yang kukuh kerana pengguna menyimpan stok makanan tambahan kesihatan.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham didorong prospek positif produk OTC dan model perniagaan yang disepadukan merangkumi semua aspek.
"Risiko terhadap cadangan itu termasuk kegagalan dalam ujian klinikal boleh menjejaskan kejayaan produk baharu dan operasi komersial yang lebih perlahan," katanya. - DagangNews.com