KUALA LUMPUR 5 Okt - Kenanga Research menjangkakan permintaan perjalanan udara bagi perniagaan dan pelancongan terus catatkan pemulihan sepanjang tahun ini secara konsisten dengan Tourism Malaysia mengunjurkan ketibaan pelancong di Malaysia meningkat 60% kepada 16.1 juta orang.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat dan mencapai paras sebelum pandemik pada 2024.
"Pelancong China merupakan pemacu utama dengan sebelum ini menyumbang kepada anggaran 12% daripada jumlah keseluruhan pelancong.
"Pada 2024, kami mengunjurkan ketibaan pelancong meningkat sebanyak 24% kepada 20 juta orang, berbanding paras sebelum pandemik sebanyak 26 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research berkata, Capital A Berhad menjangkakan permintaan penumpangnya akan terus meningkat dalam tempoh terdekat, berdasarkan faktor muatan menggalakkan yang direkodkan di 159 laluan antarabangsa.
Kumpulan itu mengulangi bahawa pemulihan daya tampung penumpang semakin menarik dan menjelang akhir 2023, kumpulan itu akan mempunyai semua 200 pesawatnya dikerahkan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
"Selain pengaktifan semula pesawatnya, ia menjangkakan peningkatan lebih jauh daripada persekitaran hasil tinggi dengan jangkaan tambang memuncak pada suku keempat tahun ini.
"Pada suku kedua tahun ini, tambang adalah 15% lebih tinggi daripada paras pra-Covid pada suku kedua 2019," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk mengumumkan butiran pelan penyusunan semula PN17 menjelang Oktober 2023 dan dijangka siap pada suku keempat tahun ini.
"Walaupun kami menyukai kumpulan itu kerana menjadi penerima manfaat pemulihan dalam perjalanan udara apabila wabak itu berakhir tetapi kami sedar ia masih berada di bawah status PN17.
"Kami mengekalkan saranan neutral untuk sektor penerbangan," katanya. - DagangNews.com