Kenanga Research unjur TIV 2023 mencecah 720,000 unit, 11% lebih tinggi berbanding sasaran MAA | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur TIV 2023 mencecah 720,000 unit, 11% lebih tinggi berbanding sasaran MAA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Research mengunjurkan sasaran jumlah industri (TIV) 2023 lebih tinggi sebanyak 720,000 unit, 10.76% lebih tinggi berbanding Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 650,000 unit.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan penerimaan positif untuk model baharu (pada harga lebih tinggi yang menghasilkan margin keuntungan lebih baik bagi pengeluar kereta), penangguhan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan peraturan duti eksais baharu yang membantu menstabilkan harga kereta.

 

Katanya, sebagai perbandingan MAA lebih berhati-hati terhadap unjuran industri secara keseluruhan, terutamanya bagi segmen kelas rendah disebabkan kesan inflasi yang tinggi ke atas golongan berpendapatan rendah terutamanya dengan peningkatan kos keperluan asas.

 

"Kadar tempahan tertunggak mencecah 350,000 unit (pada akhir Januari 2023) lebih tinggi daripada berbanding 300,000 unit tiga bulan lalu, menunjukkan penambahan pesanan yang kukuh terutamanya untuk model baharu walaupun tanpa pengecualiancukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

"Selain itu, jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan bateri elektrik (BEV) baharu yang akan menikmati pengecualian SST serta insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk unit import sepenuhnya (CBU) dan 2027 untuk pemasangan tempatan (CKD)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berlaku kemerosotan pada suku keempat 2022 untuk stok automotif di bawha liputan kami, dibebani oleh pengeluaran yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overwight' terhadap sektor itu.

 

"Keputusan yang diraih pada suku itu adalah bercampur dengan kebanyakan syarikat di bawah liputan kami terkesan dengan kos input yang tinggi.

 

"Bagaimanapun, kemerosotan margin yang paling teruk telah berakhir kerana inventori kos tinggi akan habis dalam tempoh antara tiga ke enam bulan akan datang apabila pengeluaran meningkat dan harga komoditi serta komponen utama berkurangan," katanya. - DagangNews.com