Kenanga Research unjur TIV 2023 sebanyak 720,000 unit, lebih tinggi berbanding MAA | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur TIV 2023 sebanyak 720,000 unit, lebih tinggi berbanding MAA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kenanga Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit berbanding 650,000 unit disasarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Firma itu berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan penerimaan yang baik terhadap model-model kenderaan baharu (pada harga yang lebih tinggi, menghasilkan margin keuntungan lebih baik untuk pengeluar kereta).

 

"Tiada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk sementara waktu dan penangguhan duti eksais baharu menjadikan harga kereta lebih stabil.

 

"Sebagai perbandingan, MAA lebih berhati-hati terhadap unjuran industri secara keseluruhan terutama bagi segmen kelas rendah disebabkan kadar inflasi yang tinggi ke atas golongan berpendapatan rendah terutamanya dengan peningkatan kos keperluan asas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, TIV bagi Februari 2023 meningkat sebanyak 39% dari tahun ke tahun kepada 62,649 unit menjadikan jumlah terkumpul TIV untuk dua bulan pertama tahun ini kepada 112,128 unit atau peningkatan sebanyak 29%.

 

Jumlah itu adalah selaras dengan unjuran firma itu sebanyak 16% daripada unjuran setahun penuh sebanyak 720,000 unit disokong penghantaran kukuh bagi pesanan tertunggak pada Februari berbanding Januari (disebabkan cuti Tahun Baharu Cina).

 

"Tempahan baharu kekal kukuh disokong oleh pelancaran baharu (terutamanya Axia yang mendapat tempahan 27,000 unit) mengekalkan tunggakan tempahan industri yang stabil pada 350,000 unit pada akhir Februari 2023," katanya.

 

Selain itu, jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang akan menikmati pengecualian SST dan insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk CBU dan 2027 untuk CKD.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com