Keputusan Mahkamah Rayuan kukuhkan peranan pelaporan kredit CTOS, tingkatkan keyakinan industri, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Keputusan Mahkamah Rayuan kukuhkan peranan pelaporan kredit CTOS, tingkatkan keyakinan industri, kata penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan kes fitnah yang memihak kepada unit CTOS Digital Bhd mengesahkan hak undang-undangnya bagi menerbitkan skor kredit dan sekali gus meningkatkan perniagaan pelaporan kredit kumpulan itu, kata penganalisis.

 

Kenanga Research yakin, keputusan itu akan menghapuskan sebarang keraguan sedia dan sebarang persoalan terhadap Akta Agensi Pelaporan Kredit dalam kes akan datang.

 

Firma penyelidikan itu menaik taraf penarafan CTOS kepada 'outperform' daripada 'underperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM2.00 berbanding RM1.15 sesaham.

 

“Kami kembali kepada input aliran tunai terdiskaun kami bagi kos modal purata wajaran (WACC) sebanyak 6% (daripada 7%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, perkembangan itu merupakan rangsangan kepada CTOS dan perniagaan agensi pelaporan kredit secara keseluruhan, memandangkan kesahihan merumus dan menerbitkan skor kredit tidak lagi diragui.

 

"Keputusan sebegitu mungkin menghalang daripada berlaku sebarang tuntutan serupa pada masa hadapan," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS berhak terbit skor kredit, Mahkamah Rayuan ketepikan saman pengusaha resort

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tahan' dengan TP lebih tinggi, RM1.84 berbanding RM1.77 sesaham disebabkan premium risiko yang lebih rendah, setelah kesahihan pemarkahan kredit dalam perniagaan CRA diwujudkan, dan keputusan Mahkamah Tinggi yang awalnya menolak menghalang kemungkinan tuntutan terhadap CTOS.

 

“Kami memihak kepada CTOS Digital sebagai agensi pelaporan kredit dengan model perniagaan kalis kemelesetan dan pelbagai peluang pertumbuhan dalam era digital, memastikan pendapatan dan aliran tunai yang kukuh,” katanya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, walaupun ia merupakan kemenangan positif untuk CTOS, pasaran telah mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan.

 

“Ini kerana harga sahamnya telah pulih kepada RM1.45/saham, daripada paras terendah RM1.05/saham, apabila Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan negatif buat kali pertama," katanya.

 

HLIB mengekalkan penarafan 'pegang' dengan TP lebih tinggi RM1.60 berbanding RM1.50 selepas melaraskan wajaran kebarangkalian dan meningkatkan andaian WACC kepada 8.8% (daripada 8.3%) disebabkan oleh kadar faedah yang lebih tinggi.- DagangNews.com