Kerajaan akan perkenal dasar pelaburan baharu - MITI | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan perkenal dasar pelaburan baharu - MITI

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan akan memperkenalkan dasar pelaburan negara yang baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi ketika negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. 

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kertas kerja mengenai cadangan dasar itu telah diluluskan dan disokong Majlis Tindakan Ekonomi (EAC). 

 

Katanya, ia akan dibentangkan kepada Kabinet, bulan ini.

 

"Selepas perbincangan dan libat urus yang panjang bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MoF) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kami berpendapat inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dasar pelaburan baharu ini.

 

"Tujuan aspirasi pelaburan negara ini adalah untuk menarik pelaburan berkualiti dan berteknologi agar kita boleh bersedia dengan tenaga kerja kita yang memenuhi permintaan industri," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan khas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

 

Mohamed Azmin berkata, susulan perbincangan antara MITI, EAC dan MIDA, cadangan memperkenalkan insentif baharu untuk menarik pelabur asing ke Malaysia telah diputuskan untuk dibincangkan secara lanjut dengan MoF.

 

Dalam perkembangan lain, menurut beliau, Majlis Keselamatan Negara telah meluluskan pelaksanaan inisiatif Safe@Work yang akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa minggu akan datang.

 

Beliau berkata, inisiatif itu akan mewujudkan ‘gelembung industri’ dalam kalangan pekerja yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dan tempat kerja mereka, justeru, industri berkenaan akan kekal beroperasi dan produktif.

 

"Kita akan asingkan pekerja yang mempunyai kontak rapat ini dan wujudkan 'gelembung' antara hostel dan kilang supaya pekerja akan dikendalikan dalam satu ‘gelembung’ yang telah dipersetujui.

 

"Industri ini akan terus beroperasi dan tidak terganggu. Oleh itu, mereka dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti. Saya juga gembira inisiatif ini mendapat sokongan pihak industri," katanya. - DagangNews.com