Kerajaan beri jaminan mangsa penipuan kerja luar negara dibawa pulang dengan selamat - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan beri jaminan mangsa penipuan kerja luar negara dibawa pulang dengan selamat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kerajaan memberi jaminan akan memastikan warga Malaysia yang terkandas di beberapa negara ekoran sindiket penipuan kerja dibawa pulang dengan selamat. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan itu selain keprihatinan dan mengambil serius nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara termasuk Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja. 

 

Beliau menegaskan, kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara itu seperti yang disuarakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO). 

 

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan maklumat terperinci.

 

"Usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan kerajaan akan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

 

Beliau berkata, Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

 

Terdahulu, Abd Latiff dalam sidang media memaklumkan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok. 

 

Ia selepas beliau mengadkaan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Musa dan Hishamuddin di pejabatnya, hari ini. 

 

Media semalam melaporkan MHO memohon kerajaan membantu dan campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja membabitkan warga Malaysia yang terkandas di luar negara melalui rundingan di peringkat ASEAN. - DagangNews.com