Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin
KUALA LUMPUR 23 Jun – Gerakan Ekonomi Malaysia menggesa moratorium menyeluruh diluluskan dengan segera dan dilanjutkan sehingga imuniti berkelompok dicapai sebelum lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup, lebih ramai rakyat dibangkrapkan dan dalam situasi terdesak, ramai yang membunuh diri.
Presiden GEM, Armin Baniaz Pahamin berkata, ramai rakyat dan perniagaan dinafikan Moratorium bersasar kerana mereka perlu memohon dengan menyediakan berbagai maklumat, dokumen dan bukti.
GEM ujar beliau, memandang serius kenyataan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin melaporkan Majoriti peniaga-peniaga sektor peruncitan di negara ini terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang ini.
Mnurutnya, GEM mengambil maklum dan menyokong penuh permintaan Gabungan 140 NGO-NGO, Dewan-Dewan Perniagaan supaya Moratorium ini ditawarkan secara automatik untuk semua fasiliti bank (individu dan syarikat termasuk kad kredit, overdraf, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan lain-lain), fasiliti Kredit dan ‘Leasing’ atau pajakan.
“Kami amat risau situasi kritikal peniaga-peniaga mikro, industri kecil dan sederhana yang ‘sudah nak mati’ dan berpendapat bantuan ‘Moratorium menyeluruh’ ialah bantuan yang sangat diperlukan pada saat ini.
“Kami amat faham tekanan emosi yang dialami oleh seorang wanita yang kehilangan pekerjaan, dihalau keluar dari rumah yang disewa dan cuba untuk membunuh diri dan percaya ramai yang berada didalam situasi seperti wanita tersebut. Kami bimbang cubaan membunuh diri akan lebih berleluasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam 5 bulan pertama tahun ini, 53 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang manakala jumlah kes bunuh diri di seluruh Malaysia meningkat lebih 20% dan punca utama merupakan beban hutang, ujar beliau.
“Kami juga menerima banyak laporan melalui sesi lapangan kami bersama rakyat bagaimana susahnya usahawan dan peniaga untuk memohon moratorium dari Bank. Butir-butir, maklumat dan dokumen yang diminta oleh Bank menyukarkan keadaan. Pemohon sudah parah dan di himpit lagi dengan berbagai permintaan oleh Bank,” katanya.
Armin Baniaz berkata, rakyat yang sedang susah tidak patut dibebankan lagi dengan proses-proses untuk memohon moratorium pinjaman. Moratorium pinjaman boleh ditawarkan oleh institusi Bank tanpa bajet tambahan dari kerajaan.
“Malah semua bank merekodkan pertumbuhan keuntungan semasa pandemik dan ini membuktikan prestasi Bank tidak terjejas berbanding situasi kebanyakan individu dan perniagaan yang sudah hampir muflis.
“Selain dari bantuan moratorium pinjaman, kami juga menggesa kerajaan untuk menyalurkan bantuan Moratorium Sewa seperti yang diluluskan di United Kingdom sehingga bulan Mac 2022, memberi pengurangan bayaran utiliti dan pilihan untuk rakyat mengeluarkan wang simpanan KWSP.
“Kerajaan juga telah membelanjakan wang simpanan negara KWAP diatas rasional keperluan. Dalam keadaan terdesak, rakyat juga patut diberi pilihan,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, perbelanjaan tertinggi untuk setiap isi rumah ialah perbelanjaan untuk membayar pinjaman (sama ada pinjaman kereta, kad kredit atau pinjaman rumah) dan pembayaran sewa. Kedua-dua perbelanjaan ini menelan lebih setengah dari pendapatan isi rumah.
“Bayangkan beban perbelanjaan isi rumah tanpa pekerjaan tetap atau apabila perniagaan tidak beroperasi. Moratorium menyeluruh untuk semua pinjaman dan Moratorium sewa dapat membantu rakyat bernafas lega dalam melalui krisis terbesar dunia,” kata beliau. – DagangNews.com